KUMPULAN Utusan Melayu Berhad, syarikat penerbit akhbar Utusan
Malaysia berisiko ditutup selagi pihak pengurusannya gagal melupuskan
aset bagi membayar gaji kakitangannya, kata Presiden Kesatuan Wartawan
Kebangsaan (NUJ), Mohd Taufek Razak.
Taufek yang juga pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu Bhd berkata,
masalah utama yang dihadapi syarikat itu adalah asetnya yang tidak boleh
dilupuskan kerana kebanyakannya tidak memiliki sijil layak menduduki
(CF).
“Pagi tadi kami adakan perjumpaan dengan pihak pengurusan termasuk
Pengerusi Eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir. Mereka buat keputusan Utusan
memang tiada duit untuk bayar gaji, gaji yang tertunggak dan gaji pada
masa-masa akan datang.
“Mereka tiada wang dan gagal lupus aset Utusan yang ada.
“Mereka ugut kami, mereka akan tutup Utusan, tak nak lagi beroperasi
sebab tidak ada duit,” kata Taufek, kepada pemberita di Kuala Lumpur,
hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas hampir 100 kakitangan syarikat
akhbar berbahasa Melayu mengadakan piket di perkarangan pejabat Utusan
susulan gaji yang tertunggak lebih tiga bulan.
Menurut Taufek, dalam pertemuan di pejabat Kementerian Sumber Manusia
di Putrajaya pagi tadi, Abd Aziz juga tidak menolak kemungkinan akan
menutup operasi Utusan sekiranya gagal memperolehi dana dalam tempoh
beberapa minggu lagi.
“Mereka akan tutup operasi Utusan sekiranya tak dapat wang dalam
beberapa minggu ini. Mereka nak tutup operasi, tak nak tanggung lagi
beban.
“Dia (Abd Aziz) juga memang tidak boleh buat apa, dia juga kata nak lepaskan jawatan sebagai pengerusi eksekutif,” kata Taufek.
Tambah Taufek, sekiranya perkara itu berlaku, ia merupakan satu
tamparan kepada masyarakat Melayu kerana Utusan merupakan suara Melayu
sejak 80 tahun lalu.
“Utusan sudah wujud selama 80 tahun lalu. Kalau ditutup, ia macam
tutup suara orang Melayu. Itu langkah yang mengecewakan,” katanya lagi.
Taufek turut mengharapkan Umno dapat membantu kakitangan syarikat
akhbar itu mendapatkan hak mereka memandangkan Utusan pernah menjadi
lidah rasmi parti itu sewaktu parti itu memerintah bersama Barisan
Nasional (BN).
“Setakat ini Umno pun tak beri maklumat untuk membantu Utusan terus hidup sebab Umno tidak ada wang.
“Kami merayu kepada Umno dan ahli Umno bantulah kami, pekerja kami
banyak berjasa membantu Umno sebelum ini, kami merayu lihatlah nasib
kami.
“Kalau tak nak bantu, juallah saham (dalam Utusan) supaya kami boleh
terus hidup. Utusan boleh hidup, kami boleh terus bekerja di sini,”
katanya.
Pada Februari lepas, Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam syarikat
kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Aziz.
Susulan itu, Aziz kini menjadi pemegang saham terbesar Utusan.
Utusan yang diasaskan pada 1939 di Singapura kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.
Utusan berisiko ditutup, kata NUJ
Monday, 19 August 20190 comments
Related Articles
- Kakitangan Utusan akan dibantu cari kerja baru - Mahfuz
- Bayaran pendahuluan gaji kakitangan Utusan sumbangan Umno, kata NUJ
- Bursa gantung Utusan 30 Ogos sebelum nyahsenarai
- Utusan, Kosmo henti operasi minggu ini
- Gaji kakitangan Utusan tidak akan dibayar, NUJ diberitahu syarikat
- Portal Malaysian Insider ditutup mulai tengah malam ini
Post a Comment