Kakitangan Utusan terima pendahuluan tunggakan gaji

Tuesday 20 August 20190 comments

KUMPULAN Utusan Melayu Berhad hari ini membayar RM2,000 kepada semua kakitangannya sebagai pendahuluan tunggakan gaji yang belum berbayar sejak Jun lalu.

Bayaran pendahuluan itu akan dibuat selewat-lewatnya malam ini, kata satu memorandum pekeliling syarikat kepada kakitangan

“Berdasarkan kemampuan kewangan semasa, syarikat telah membuat keputusan untuk membayar pendahuluan gaji sebanyak maksimum RM2,000 seorang yang akan dikreditkan ke akaun kakitangan selewat-lewatnya pada malam ini.

“Bayaran ini akan ditolak daripada jumlah gaji bersih yang tertunggak,” kata memorandum pekeliling itu.

Pekeliling itu dikeluarkan oleh Pengurus Besar Sumber Manusia, Pentadbiran, dan Perkhidmatan Harta Utusan, Mohd Nazlan Osman.

“Semoga dengan bayaran pendahuluan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang sedang dihadapi,” kata pekeliling itu lagi.

Pekeliling itu diedarkan sejurus sebelum pertemuan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir bersama kakitangan syarikat penerbitan akhbar berkenaan pada pukul 5 petang ini di ibu pejabat Utusan di Kuala Lumpur.

Semalam, kakitangan Utusan melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.

Maklumat dari kakitangan Utusan semalam juga menyatakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akan dihentikan operasinya selepas penerbitan esok.

Keputusan dikatakan dibuat selepas Kumpulan Utusan menanggung kerugian purata sehingga RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu.

Awal hari ini, pengurusan syarikat bermesyuarat dipercayai membincangkan kedudukan kewangan dan operasinya.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah Utusan memaklumkan kepada Bursa Malaysia mereka tidak pasti kumpulan itu dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.

Saham Utusan di Bursa Malaysia dibuka pada 0.09 sen pagi ini dan ditutup pada 0.07 sen pukul 5 petang tadi
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat