Demokrasi dan Media Pemikiran

Wednesday 12 September 20180 comments

Oleh Zin Mahmud

Ada tiga institusi media pemikiran yang penting dalam sesebuah negara. Selama ini ia berbentuk kertas bercetak tetapi kini ia boleh muncul dalam bentuk digital. Pada masa akan datang, ia akan hanya ada dalam bentuk digital.

Tiga institusi itu ialah persuratkhabaran, permajalahan dan perbukuan. Dalam akhbar, jantungnya terdapat pada ruangan rencana pengarang, atau disebut sebagai opinion editorial, atau op-ed. Di situlah adanya lidah pengarang, pendapat, ruangan tetap dan surat pembaca, yang diterbitkan setiap hari dengan menggambarkan pemikiran rakyat. Tetapi akhbar nasional ini mestilah bebas bagi menyuarakan hati nurani rakyat dengan mencerminkan jati negara. Ia tidak boleh hanya menggambarkan sudut pandangan mana-mana parti politik, lebih-lebih lagi jika ia berbentuk pada apa yang hanya bertujuan merebut dan mengekalkan kuasa. 

Dalam sistem demokrasi, akhbar nasional mesti merupakan suara rakyat dan negara. Editornya bertindak bebas menurut etika profesionalisme kewartawanan sebuah sistem demokrasi, dan bukannya menjadi corong propaganda pemilik syarikat yang menerbitkan akhbar berkenaan.

Maknanya syarikat yang memilikinya hanya menguasai dari segi perniagaan iaitu untuk memperoleh keuntungan tetapi mereka sendiri, melalui lembaga pengarahnya mempunyai komitmen terhadap kebebasan akhbar dalam kerangka demokrasi.

Dalam negara demokrasi di Amerika utara dan Eropah barat, seringkali syarikat akhbar ini dimiliki oleh keluarga-keluarga elit besar yang mapan dalam negara masing-masing dengan memiliki komitmen tinggi untuk mempertahankan kebebasan editorial media mereka.

Di Amerika Syarikat umpamanya, akhbar utama yang mengandungi pemikiran bangsa dan negara mereka ialah The New York Times dan The Washington Post. Walaupun mereka cenderong pada fahaman liberal yang didokong oleh Parti Demokratik tetapi dari segi editorial, mereka bersikap bebas dengan memikirkan keutamaan pada kepentingan negara.

Di Britain pula, peranan ini dipegang oleh The Guardian, The Daily Telegraph, The Times dan The Financial Times. 

Ketika menjajah Malaya, orang Britain menerbitkan The Malay Mail dan The Straits Times sebagai akhbar yang mencerminkan pemikiran politik kolonial mereka. The Malay Mail diterbitkan di Kuala Lumpur untuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan The Straits Times diterbitkan di Singapura untuk Negeri-negeri Selat.

Apabila gagasan British Malaya muncul yang menggabungkan FMS,  Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UFMS) dan Negeri-negeri Selat, maka The Straits Times mewakili entiti politik ini.

Bagi mewakili suara dan pemikiran orang Melayu, maka diterbitkan akhbar Utusan Melayu pada tahun 1939. Ia diterbitkan atas sumbangan berbentuk saham orang Melayu dengan majoritinya dipegang oleh pemimpin Persatuan Melayu Singapura. Tetapi dari segi semangatnya, pegangan itu adalah bagi pihak orang Melayu.

Utusan Melayu memperjuangkan kemerdekaan lama sebelum adanya parti-parti Melayu. Slogannya ialah Penyambung Lidah Melayu. Maknanya, apabila Tanah Melayu merdeka, akhbar inilah yang mencerminkan pemikiran rakyat Tanah Melayu. Pada masa itu orang yang dianggap sebagai rakyat Tanah Melayu adalah orang Melayu kerana mereka adalah rakyat pada Raja-raja Melayu. Kaum lain dianggap rakyat China, India atau British.

Tetapi pihak British menganggap bahawa Tanah Melayu ini adalah Malaya yang rakyatnya apabila merdeka kelak terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Untuk itu British mahu menubuhkan Malayan Union. Sebagai tanah jajahan, bahasa rasminya adalah Inggeris. Maka akhbar bagi mencerminkan Malayan Union adalah The Straits Times yang berpusat di Singapura. Bersama Singapura, Malayan Union ini dianggap sebagai British Malaya yang London tidak berhasrat untuk memberi kemerdekaan. Ini kerana satu pertiga daripada pendapatan Britain datang dari Malaya.
Suara British, baik pentadbir mahupun ahli perniagaannya tercermin dalam kandungan The Straits Times. Penulisan editorialnya membahaskan pemikiran mereka terhadap negeri ini.

Tetapi bagi orang Melayu, kesedaran untuk menuntut kemerdekaan sudah mula walaupun di kalangan segolongan kecil yang berpendidikan. Perbahasan mengenai kemerdekaan ini disuarakan oleh wartawan Utusan Melayu, yang umumnya nasionalis. Semangat mereka naik dengan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945. Pada tahun yang sama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan. Umumnya wartawan Utusan Melayu menyokong PKMM.

Maka Utusan Melayu menjadi akhbar yang mengungkapkan kebangsaan Melayu dan Tanah Melayu. Untuk mengelak daripada Malaya jatuh ke tangan komunis, British bersedia membatalkan Malayan Union dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu. Gagasan ini akan menyediakan negara ini untuk kemerdekaan di bawah kepimpinan orang Melayu tetapi disertai dengan kewarganegaraan orang Cina dan India. Lebih penting lagi ialah bagi memastikan Malaya berada dalam Komanwel dengan bersekutu pada dunia Barat, bagi menentang blok Timur, iaitu komunis.

Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, orang Melayu terbahagi kepada empat jurus politik iaitu UMNO, Parti Negara, PAS dan Parti Rakyat. Utusan Melayu sebagai Penyambung Lidah Melayu menampung suara keempat-empat jurusan ini.

Bagi pihak British pula, Malaya adalah negara berteraskan pada tiga kaum, Melayu, Cina dan India. Untuk menyatukan bangsa Malaya, diputuskan bahawa bahasa kebangsaan Malaya adalah bahasa Melayu yang bertulisan rumi, supaya ia mudah diterima dan dipelajari oleh orang Cina dan India.

Utusan Melayu yang bertulisan jawi tidak boleh mewakili suara Malaya. Maka The Straits Times menerbitkan akhbar Berita Harian yang dipimpin oleh bekas pengarang Utusan Melayu, A. Samad Ismail yang juga merupakan seorang nasionalis. Berita Harian hendak dijadikan akhbar nasional Malaya.

Tetapi UMNO yang menganggap dirinya parti utama mewakili orang Melayu berikutan kemenangannya dalam pilihan raya umum tahun 1955 membeli majoriti saham Utusan Melayu. Ketika mana Berita Harian melalui The Straits Times masih dikuasai British, Utusan Melayu pula sudah dikuasai UMNO.

Namun pada tahun 1960, sidang redaksi Utusan Melayu masih bebas di bawah pengarangnya, Said Zahari. Kerana bimbangkan akhbar itu tidak mengikut haluan UMNO, maka parti itu bertindak mengambil alih sidang pengarang akhbar itu. Kakitangan Utusan Melayu melancarkan mogok tetapi dapat dipatahkan dengan Said Zahari tersingkir.

Setelah Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, Utusan Melayu menerbitkan akhbar rumi yang dinamakan Utusan Malaysia, iaitu pada tahun 1967. Kalau Utusan Melayu diisytiharkan sebagai Lidah Penyambung Melayu, Utusan Malaysia dislogankan sebagai Akhbar Kebangsaan Tulen. Ia dirancang bukan saja sebagai akhbar orang Melayu tetapi juga akhbar bagi semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Sarawak dan Sabah.

Apa diharapkan bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang meletakkan Bahasa Malaysia sebagai teras akan menjadikan Utusan Malaysia akhbar kebangsaan semua kaum di mana perbincangannya merentas kaum dan negeri.

Tetapi itu tidak berlaku. Lima puluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 2017 menjelang pilihan raya umum ke-14, Utusan Malaysia tidak menjadi suara rakyat Malaysia semua kaum, tetapi menampilkan diri sebagai akhbar bagi orang Melayu. Bagaimanapun banyak orang Melayu sendiri melihat Utusan Malaysia sebagai suara UMNO semata-mata, jauh sekali sebagai suara bangsa Malaysia.

UMNO pula bukan saja menguasai Utusan Malaysia tetapi juga Berita Harian dan The New Straits Times. Tetapi yang menampung suara pelbagai kaum pula dilakukan oleh The Star. Ia adalah akhbar yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman, dalam bahasa Inggeris, dimiliki oleh MCA tetapi dibaca oleh semua kaum termasuk orang Melayu.

Selain The Star, Tunku juga mengasaskan Watan, akhbar pertama dwibahasa dengan keutamaan pada Bahasa Malaysia. Akhbar itu terkubur ketika di bawah pemilikan seorang pemimpin UMNO.

Maka pada hakikatnya kini tidak ada akhbar yang benar-benar nasional dan bebas, yang menjadi tempat bagi negara dan bangsa Malaysia bercakap pada diri sendiri. Cita-cita Said Zahari terkubur apabila sidang redaksi Utusan Melayu diambil alih oleh UMNO. Utusan Malaysia yang dirancang sebagai Akhbar Kebangsaan Tulen akhirnya menjadi organ parti UMNO. Watan pula yang dicita-citakan oleh Tunku sebagai akhbar bebas bagi Malaysia terkubur ketika ia digunakan untuk berkempen bagi pemilihan pemimpin UMNO.

Dalam sesebuah akhbar, teras pemikirannya terletak pada halaman ruangan rencana pengarang yang juga disebut sebagai opinion editorial atau op-ed. Ia terdiri daripada ruangan editorial yang juga disebut sebagai rencana pengarang atau lidah pengarang. Inilah pendirian sesuatu akhbar. Lidah pengarang disiarkan setiap hari. Akhbar yang tidak ada editorial, ia merupakan akhbar tidak serius. Dalam ruangan op-ed terdapat komentar, analisis dan rencana serius menyentuh soal politik, ekonomi dan sosial. Dalam op-ed ada juga ruangan pojok atau kartun politik. Tradisi pojok atau komen ringkas yang mencuit atau berupa kritik politik atau sosial dalam akhbar berbahasa Melayu di Malaysia berasal daripada amalan akhbar Indonesia sejak zaman sebelum merdeka.

Dalam ruangan op-ed juga terletak surat pembaca. Di sinilah hubungan antara akhbar dan pembaca. Mereka adalah rakyat. Dalam Utusan Malaysia, ruangan surat pembaca dipanggil Forum. Dengan adanya media sosial, peranan surat pembaca sudah kelihatan kurang relevan. Tetapi surat pembaca dipilih yang mana editor menjadi kurator untuknya, tidak seperti media sosial dengan pembaca tenggelam pada lambakan maklumat dan pandangan.

Tetapi perbincangan dalam akhbar tidak memadai. Isu-isu wajar dibincangkan dengan panjang dan mendalam. Apa yang hari ini dinamakan ‘longform’. Rencana-rencana ‘longform’ hanya dapat ditampung oleh majalah. Ini membawa kepada institusi media pemikiran kedua penting dalam sesebuah negara.

Institusi kedua bagi negara dan bangsa berfikir dan berbincang dengan diri sendiri adalah majalah hal ehwal semasa. Kupasannya lebih mendalam daripada akhbar. Amerika Syarikat ada Time, The Atlantic, The Republic, Harpers dan The New Yorker. Di Britain ada The Economist, The Spectator dan The New Statesman. India ada India Today dan Frontline. Indonesia ada Tempo.

Sejarah majalah bulanan serius adalah panjang di Britain dan Amerika. The Economist pada asalnya adalah akhbar khusus untuk ahli-ahli ekonomi dan perniagaan tetapi ia kemudian merangkumi semua isu semasa, dari politik hingga ke sains dan teknologi. Walaupun ia dianggap sebagai majalah Britain tetapi edarannya adalah ke seluruh dunia dan kini dianggap sebagai bertaraf global seperti mana institusi penyiaran Britain, BBC dan agensi beritanya, Reuters. The Economist mempunyai banyak edisi iaitu seperti untuk Asia dan Amerika. New Statesman adalah majalah politik berhaluan kiri.

Tetapi apa yang menjadi pelopor kepada majalah berita mingguan ialah Time terbitan Amerika. Ia juga mencapai tahap global. Pada satu masa dulu, Amerika ada dua majalah berita mingguan iaitu Time dan Newsweek. Kini Newsweek sudah tidak diterbitkan secara mingguan.

Namun di Amerika, ada majalah serius yang lebih khusus dan bertaraf lebih elit. The Atlantic dan The Republic mengulas mengenai politik. Sementara Harpers dan The New Yorker juga terkenal sebagai majalah sastera dan budaya.

Di Jerman, majalah berita mingguan mereka ialah Der Spiegel dan Perancis ada Le Figaro. Di Rusia, majalahnya ialah Sputnik. Majalah berita mingguan untuk India ialah India Today. Bagi haluan kiri, majalah di negara itu ialah Frontline.

Pada satu masa dirasakan bahawa rantau Asia Timur perlu ada wadah bagi perbincangan hal ehwal semasa. Pada tahun 1960-an, pemikiran kiri, sama ada komunisme mahupun sosialisme menjadi tarikan di Asia Timur akibat Revolusi China. Maka diterbitkanlah majalah Far Eastern Economic Review berpusat di Hong Kong yang hendak dibuat seperti The Economist di Britain.

Kemudian terbit majalah Asiaweek yang diharapkan jadi Newsweek bagi Asia Timur. Setelah beberapa dekad diterbitkan, akhirnya ia tutup. Far Eastern Economic Review menjadi jurnal dan Asiaweek dibeli oleh Time, tetapi kemudian ditutup untuk digantikan dengan Time edisi Asia.

Di Indonesia, selepas Sukarno dijatuhkan pada tahun 1966, ada pihak mengusahakan majalah berita mingguan bagi membicarakan negara Orde Baru. Ia bernama Tempo yang bermaksud masa seperti mana majalah Time. Adalah dipercayai bahawa agensi perisikan Amerika membantu penerbitan majalah itu.

Tempo pimpinan Goenawan Mohamad memperjuangkan politik demokrasi. Ketika di penghujung pemerintahan Suharto, ia mendokong Reformasi. Bagi menyaingi Tempo, pihak pendokong Suharto menerbitkan majalah Gatra. Tetapi ada dua majalah baharu yang turut menyokong Reformasi iaitu Editor dan Detik. Tempo dan Detik diharamkan oleh rejim Suharto.

Selepas Reformasi, Tempo diterbitkan semula tetapi Editor dan Detik sudah tiada di pasaran.
Di Malaya, kesedaran mengenai kepentingan majalah ehwal semasa disedari sejak dari awal lagi.

Kepentingan institusi inilah yang mendorong Utusan Melayu pada sebelum merdeka dulu menerbitkan majalah Mastika. Mastika bermaksud sesuatu yang berharga. Pada mula ia diterbitkan, ia bertulisan jawi dan berbidang besar dengan mengandungi rencana-rencana hal ehwal semasa yang serius. Pada masa itu, ada satu lagi majalah bernama Hiburan bertulis jawi. Ketika itu, hiburan tidak bermaksud muzik atau budaya semata-mata. Pada masa itu, hiburan merujuk pada sesuatu yang menyenangkan hati, menghiburkan. Majalah ini juga mengandungi rencana-rencana hal ehwal semasa.

Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan, majalah pertama yang diterbitkan ialah Dewan Bahasa. Di dalamnya bukan saja ada rencana mengenai bahasa dan sastera tetapi juga hal ehwal sosial. Kemudian isu-isu sosial disiarkan dalam majalah kedua yang diterbitkan oleh DBP iaitu Dewan Masyarakat. Majalah ini diterbitkan untuk membangun fikiran rakyat. Kalau tidak ada majalah, tidak ada penulis dan pembaca, maka minda pun tidak terbina. Pada masa itu perkataan masyarakat itu bermaksud orang ramai dan rakyat. Atau sosial. Seperti banyak perkara yang berlaku dalam DBP pada awal-awal penubuhannya, sekali lagi ia menampakkan adanya pengaruh golongan sosialis atau kiri.

Dewan Masyarakat ini bertulisan rumi sebagai mendaulatkan tulisan nasional. Mastika pun kemudian bertukar jawi ke rumi. Hiburan kemudian hilang di pasaran. Dewan Masyarakat dan Mastika ini diharap pada masa itu menjadi majalah nasional bagi hal ehwal semasa.

Terdapat usaha lain yang juga menerbitkan majalah serius di negara ini. Antaranya ialah Gema Dunia, Santajiwa, kependekan Santapan Jiwa, Komentar dan Dailog.

Ada satu masa di mana Dewan Masyarakat hendak dijadikan mingguan seperti Time dan Tempo. Untuk itu, editornya, Johan Jaafar pernah menjadikan Dewan Masyarakat popular dan laris dengan membawa isu Nathrah dan Shamsiah Fakeh.

Tetapi kemudian Mastika menjadi saiz kecil untuk menjadi seperti Readers Digest. Akhirnya ia menjadi majalah hantu dan muncul sebagai majalah terlaris di Malaysia. Tetapi cita-cita asalnya untuk menjadi  majalah hal ehwal semasa terkorban.

Ada usaha oleh bekas tokoh DBP, Baha Zain untuk menerbitkan majalah mingguan nasional. Ia bernama Era. Tetapi ia juga gagal. Utusan Melayu di bawah pimpinan Johan Jaafar sekali lagi berusaha menerbitkan majalah berita mingguan, ia bernama Massa. Ia juga gagal.

Rustam A. Sani ketika bekerja dengan Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) di bawah pimpinan Noordin Sopie pernah menerbitkan majalah Negarawan. Ia mengambil sempena nama majalah kiri Britain, New Statesman.

Majalah serius lain yang pernah diusahakan ialah Sarina, kependekan Saringan Nasional dan Panji Masyarakat. Pihak pembangkang dahulu pernah menerbitkan majalah Dunia Islam, Tamadun, Detik dan Siasah. Golongan kiri pernah memiliki majalah Nadi Insan.

Zaman surat khabar dan majalah kini sudah berlalu ditelan era digital.

Tetapi keperluan negara untuk berbincang mengenai isu-isu ehwal semasa adalah terus perlu. Namun, bagaimanakah terbina kegiatan pemikiran ini kalau tidak ada penulis dan pembaca lantaran ketiadaan wadah yang mengembangkannya?

Perbincangan melalui televisyen dan radio, atau Youtube dan podcast tidak sedalam jika ia diungkapkan melalui tulisan yang memerlukan fikiran dan pembacaan mendalam.

Zin Mahmud, bekas editor dan wartawan.
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat