Bayaran pendahuluan gaji kakitangan Utusan sumbangan Umno, kata NUJ

Tuesday 20 August 20190 comments

BAYARAN maksimum RM2,000 pendahuluan tunggakan gaji kepada kakitangan syarikat Utusan Melayu Berhad adalah sumbangan Umno, kata kesatuan sekerja.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Bhd Mohd Taufek Razak berkata, Umno menyalurkan dana kira-kira RM1.6 juta kepada syarikat itu untuk membantu kakitangan susulan kegagalan mereka membayar gaji selama tiga bulan.

“Duit ini hasil suntikan daripada Umno berjumlah kira-kira 1.6 juta ringgit hasil desakan piket semalam.

“(Presiden Umno Ahmad) Zahid (Hamidi) adakan mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah Utusan,” katanya ketika sidang media di pejabat Utusan hari ini.

Pekeliling mengatakan kakitangan Utusan akan menerima RM2,000 sebagai pendahuluan tunggakan gaji diedarkan sejurus sebelum pertemuan bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir.

“Berdasarkan kemampuan kewangan semasa, syarikat telah membuat keputusan untuk membayar pendahuluan gaji sebanyak maksimum RM2,000 seorang yang akan dikreditkan ke akaun kakitangan selewat-lewatnya pada malam ini.

“Bayaran ini akan ditolak daripada jumlah gaji bersih yang tertunggak,” kata memo pekeliling, yang dilihat

Pekeliling itu dikeluarkan oleh Pengurus Besar Sumber Manusia, Pentadbiran, dan Perkhidmatan Harta Utusan, Mohd Nazlan Osman.

Abd Aziz berkata, syarikat penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo itu akan terus beroperasi walaupun semalam dilaporkan akan menghentikan operasinya minggu ini dengan edaran terakhir terbit pada Rabu.

Kumpulan Utusan menanggung kerugian purata sehingga RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu.
Kakitangan Utusan semalam melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.

Dalam sidang medianya hari ini, Abd Aziz menafikan akan menutup operasi syarikat berkenaan sebaliknya akan menaikkan harga Utusan Malaysia dan Kosmo masing-masing sebanyak 50 sen.

Beliau juga berkata, sejak beliau mengambil alih jawatan itu, Umno tidak lagi menentukan hala tuju editorial syarikat.

Sebelum ini Umno menafikan “cuci tangan” dan tidak membantu kakitangan Utusan yang pernah menjadi lidah rasmi parti itu, kata Setiausaha Agung parti Annuar Musa.

Umno sebaliknya sedia membantu kebajikan kakitangan Utusan sekiranya kerajaan menyahbekukan akaun parti itu susulan siasatan pihak berkuasa selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. 
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat