TV, radio, media sosial rasmi sumber paling dipercayai sepanjang PKP

Thursday 18 June 20200 comments

Oleh :Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh
 
Pandemik COVID-19 adalah bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia memberi pelbagai impak terhadap kesihatan, ekonomi, sosial, budaya, agama dan psikologi semua lapisan masyarakat di dunia termasuk Malaysia. Di Malaysia, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas telah mengubah rutin harian kehidupan masyarakat.


Media sosial dan berita palsu

Semasa PKP, penggunaan media sosial meningkat dengan begitu drastik kerana ia menjadi medium utama untuk melakukan kerja dari rumah (work from home), pengajaran dan pembelajaran, mendapatkan pelbagai maklumat terkini, dan mengisi masa lapang. Terdapat pelbagai implikasi berikutan peningkatan itu termasuklah pertambahan penularan berita palsu melalui media sosial.
Laporan daripada Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia menunjukkan sebanyak lapan hingga sembilan berita palsu diterima setiap hari.

Secara umumnya, berita palsu mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat dan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pakar psikologi. Ia boleh menyebabkan kebimbangan dalam diri apabila terlalu mudah percaya dengan maklumat-maklumat yang dikongsi di media sosial.

Selain itu, ia boleh menyebabkan suasana panik, ketakutan dan kegusaran dalam kalangan orang awam.


Peranan tv, radio, media sosial rasmi

Bagi mendapatkan maklumat berkaitan peranan, impak kempen serta peringatan yang sering diuar-uarkan di stesen televisyen (tv), radio dan media sosial rasmi berkaitan berita palsu, satu kajian kualitatif iaitu melalui temu bual telah dijalankan ke atas ketua keluarga. Kajian ini melibatkan 33 ketua keluarga yang mempunyai latar belakang pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga Ijazah pertama berusia antara 30 hingga 60 tahun terdiri daripada penjawat awam, pekerja swasta, peniaga dan pesara.

Kajian mendapati hampir kesemuanya hanya mempercayai maklumat rasmi yang diperoleh melalui stesen televisyen, radio dan media sosial rasmi seperti Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Selain itu, turut menjadi rujukan responden juga adalah akhbar digital seperti Sinar Harian, Berita Harian dan Harian Metro.


Majoriti responden yang menerima berita melalui WhatsApp, Facebook dan media social lain akan membuat semakan dan pengesahan melalui televisyen, radio dan media sosial rasmi terlebih dahulu sebelum mempercayainya. Kebanyakan mereka menyatakan maklumat di media sosial meragukan serta tidak boleh dipercayai dan hanya akan menyebarkannya setelah mendapat pengesahan melalui tv, radio dan media sosial rasmi. Mereka percaya bahawa penyebar berita palsu adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mendatangkan kebimbangan dan suasana panik dalam masyarakat.

Antara berita palsu yang diterima oleh responden adalah berhubung tentang kekurangan bekalan makanan ketika PKP, perintah kawalan pergerakan sepenuhnya di kawasan mereka, makanan sebagai punca penyebaran virus COVID-19, bantuan kepada penduduk kampung, kematian individu yang dikatakan berpunca daripada virus COVID-19 dan terdapat sekumpulan individu berhampiran kawasan mereka yang didakwa telah dijangkiti COVID-19. Menurut responden, antara punca penyebaran berita palsu ini adalah terdapat golongan yang ingin menjadi ‘hero’ dan mahu menjadi individu pertama menyebarkan sesuatu maklumat tanpa membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu.


Media mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku masyarakat

Kajian ini juga menunjukkan media memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku masyarakat. Didapati responden mempunyai kefahaman dan kesedaran yang tinggi terhadap pencegahan wabak COVID-19 ini. Mereka menyatakan antara langkah yang telah diambil ialah menyahut seruan kerajaan untuk kekal berada di rumah, dan keluar hanya jika ada urusan yang sangat penting. Selain itu, perlu sentiasa menjaga jarak sosial satu meter apabila berada di tempat awam, sentiasa menjaga kebersihan diri, menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka apabila keluar rumah.

Kesimpulannya, peranan stesen tv, radio dan media sosial rasmi kerajaan masih menjadi pilihan utama masyarakat meskipun dihidangkan dengan pelbagai maklumat melalui media sosial.

Masyarakat kini telah mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memastikan hanya menerima dan mempercayai maklumat yang sahih daripada sumber yang dipercayai sahaja. Jika rakyat Malaysia mempunyai kesedaran ini, maka sudah pasti penularan berita palsu dapat dikekang sebagaimana kita hampir berjaya mengekang penularan virus COVID-19.
-- BERNAMA


Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh adalah Timbalan Dekan Bakat / Pensyarah Pusat Pendidikan Asas Dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat