AKHBAR Utusan Malaysia dan Kosmo akan menghentikan operasinya minggu
ini dengan edaran terakhir terbit pada Rabu, kata beberapa sumber
syarikat penerbitnya Kumpulan Utusan Melayu Berhad.
Keputusan menghentikan penerbitan syarikat akhbar berusia 80 tahun
itu dibuat selepas Kumpulan Utusan menanggung kerugian purata sehingga
RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu, kata sumber.
“Esok (Selasa) adalah hari terakhir kerja, untuk surat khabar terbit pada Rabu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight difahamkan Pengerusi Kumpulan Utusan Abd Aziz
Sheikh Fadzir akan menjelaskan keputusan syarikat dalam satu pertemuan
dengan semua kakitangan petang esok.
Utusan terbelit masalah kewangan yang teruk sehingga gagal melunaskan
gaji bulanan kakitangannya sejak Jun lalu, selain pampasan
pemberhentian hampir 800 bekas kakitangannya sejak awal tahun.
Sementara itu, seorang sumber lain memberitahu, Utusan dijangka akan
melelong asetnya bagi menyelesaikan masalah kewangan yang sedang ia
hadapi.
Wang hasil jualan harta itu akan digunakan untuk membayar hutang dan
baki pampasan bekas kakitangannya, kata sumber yang maklum mengenai
keputusan syarikat hari ini.
Hampir 100 kakitangan Utusan hari ini mengadakan piket selama
kira-kira satu jam di perkarangan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur
menuntut syarikat menunaikan tanggungjawab membayar gaji mereka.
Awal hari ini, pihak pengurusan Utusan disertai Aziz dan beberapa
pimpinan kesatuan sekerja mengadakan pertemuan di Putrajaya atas
inisiatif Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Industri Khalid Jadi,
membincangkan kedudukan kewangan syarikat dan hak pekerja.
Sebelum masalah pembayaran gaji yang terbaru sejak tiga bulan lalu, Utusan juga beberapa kali pernah terlewat membayar gaji kakitangannya sepanjang 2018 sehingga kesatuan sekerja mengugut akan membuat piket.
Utusan, yang kini berstatus PN17
atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar
hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank, pada November lepas
memberhentikan hampir 800 kakitangannya melalui skim pemberhentian
sukarela (VSS) bagi mengurangkan kos operasi.
Aziz dilantik pengerusi eksekutif
Utusan pada Jun dan sebulan kemudian memangku jawatan ketua pengarang
kumpulan selepas dua pengarang kanannya melepaskan jawatan dan bersara.
Beliau bagaimanapun letak jawatan pada pertengahan Disember 2018,
serentak dengan pelantikan Ibrahim Yahya sebagai pengarah urusan
merangkap ketua pengarang kumpulan. Ibrahim bekas setiausaha akhbar
Ahmad Zahid Hamidi.
Aziz bagaimana kembali menerajui Utusan pada 31 Januari lalu untuk
memastikan program penstrukturan semula kumpulan syarikat ini berada
pada landasan yang betul.
Pada Februari lepas, Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam syarikat
kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Aziz, dan
menjadikan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (2013-2018) itu
sebagai pemegang saham terbesar Utusan.
Pada Julai lepas, tokoh perniagaan Syed Mokhtar Albukhary
meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang
saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang
masih memegang 18.1%.
Utusan mula terbit sebagai Utusan Melayu dalam tulisan Jawi pada 1939
sebelum muncul dalam edisi Rumi sebagai Utusan Malaysia pada 1
September 1967. Keluaran Ahadnya, Mingguan Malaysia terbit pada 30 Ogos
1964, sementara Kosmo mula terbit pada 30 Ogos 2004.
Utusan, Kosmo henti operasi minggu ini
Monday, 19 August 20190 comments
Related Articles
- Gaji kakitangan Utusan tidak akan dibayar, NUJ diberitahu syarikat
- Portal Malaysian Insider ditutup mulai tengah malam ini
- Utusan terus bernafas, harga akhbar naik 50sen
- Kakitangan Utusan akan dibantu cari kerja baru - Mahfuz
- Bayaran pendahuluan gaji kakitangan Utusan sumbangan Umno, kata NUJ
- Bursa gantung Utusan 30 Ogos sebelum nyahsenarai
Post a Comment