SKMM sahkan sekat TMI, beri amaran portal berita lain

Sunday 28 February 20160 comments

Akses kepada laman The Malaysian Insider (TMI) disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) kerana agensi itu berpendapat portal berita ini menyiarkan kandungan yang memenuhi kriteria kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Kenyataan itu dibuat SKMM dalam satu pengumuman ringkas 3 perenggan lewat petang ini.

"SKMM menyekat laman TMI ekoran tindakan portal berkenaan yang mengeluarkan kandungan-kandungan yang menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kenyataan SKMM dipetik.

Seksyen 233 adalah berkaitan "penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian" yang antara lain bersifat "mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain".

Kenyataan itu bagaimana pun tidak memperincikan mana-mana berita yang didakwa menyalahi seksyen tersebut.

Di bawah Akta SKMM, Seksyen 233 ialah mengenai penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ia menyatakan, menjadi suatu kesalahan jika seseorang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar untuk membuat dan memulakan komunikasi yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

Turut menjadi kesalahan, seseorang yang secara sedar menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, bagi memberikan apa-apa komunikasi lucah bertujuan komersial, kepada orang lain.

Seksyen itu memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara kurang dari setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ia juga memperuntukkan denda sebanyak RM1,000 sehari jika kesalahan sama diulangi selepas sabitan.

Dalam kenyataan sama, SKMM turut memberi amaran kepada portal berita lain agar berhati-hati dengan laporan mereka.

"SKMM memperingatkan portal-portal berita agar tidak menyebarkan atau menyiarkan artikel-artikel yang tidak ditentukan kesahihannya.

"Ini kerana tindakan sedemikian boleh mengundang kekeliruan dan mencetuskan situasi yang tidak diingini," kata SKMM.
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat