Oleh Dinsman
Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama PAS Kawasan Batu meneruskan lagi usaha mereka "mengembalikan"
Harakah kepada landasan awalnya, sepertimana sebelum ini Paksi pernah
mengadakan kempen mengembalikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada
landasannya, hinggalah Datuk Dr Awang Sariyan dilantik menjadi Ketua
Pengarah DBP (awal 2012).
Tak kiralah samada
kempen itukah yang akhirnya "menyelamatkan" DBP yang waktu itu
dikatakan sedang tenat, ataupun semua itu terjadi daripada proses yang
lain, hakikatnya Paksi memang melakukan kempen berkenaan secaranya
tersendiri (bersama dengan Gerakan Darurat Bahasa atau GDB, yang
dipimpin presiden Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid).
Itu terjadi
pada 2011. Bermula dengan majlis baca Yasin dan puisi di warong kopi di
depan bangunan lama DBP, yang dihadiri oleh tokoh budaya sahabat Paksi
termasuk Sasterawan Negara, A Samad Said dan Prof Shaharir Mohd Zain
pada Mac, dan diikuti beberapa acara lagi di warong tersebut, termasuk
menyambut ulang tahun ke-55 penubuhan DBP, pada Jun.
Apakah untuk Harakah kali ini pun perlu dibuat baca Yasin juga seperti untuk DBP yang tenat dulu itu?
Rasa-rasanya Harakah belumlah sampai ke tahap tenat. Cuma cara
pengurusannya meladeni pekerja wartawannya agak "kurang ihsan" mengikut
akhlak Islam, atau kalau ikut istilah Cikgu Ishak Surin (YDP Pas Kawasan
Batu), “zalim dan tidak Islamik”.
Bagi sebuah institusi yang
letaknya langsung di bawah kepimpinan pusat PAS (parti yang mendakwa
segala-galanya berkaitan dengannya adalah Islam), dakwaan atau kenyataan
YDP PAS Batu itu adalah sesuatu yang sangat serius.
Tentunya
Cikgu Ishak tidak akan membuat kenyataan atau dakwaan begitu saja-saja
suka-suka, kerana membuat dakwaan demikian itu pun adalah suatu perkara
yang serius.
Sangat serius. Apatah lagi Cikgu Ishak pun adalah
orang dalam PAS sendiri. Seorang tokoh veteran yang dikenali sangat kuat
berpegang pada prinsip. Dan dia sendiri adalah pengasas suratkhabar
Harakah itu, pada awal tahun 1987, bersama dengan Rahim Kassim dan Yusuf
Jalil.
Ada perkara yang memang tidak betul telah dan sedang
berlaku dalam pengurusan Harakah. Ketika Naib YDP PAS Batu, Tarmizi Md
Jam diberhentikan daripada jawatannya sebagai Pengarang Harakah pada 1
Oktober 2014, Cikgu Ishak tidak berbuat apa-apa.
Tetapi apabila
Roslan Hamid pula diberhentikan pada pertengahan Disember, dan serentak
dengan itu kolum Wacana Budaya juga dihentikan, dan Ketua Pengarang,
Ahmad Lutfi Othman juga diminta berhenti, Cikgu Ishak tak dapat lagi
menahan dirinya daripada bertindak.
“Mereka sudah melampau,”
katanya. “Mereka hendak menyekat PAS daripada berkembang dan maju sesuai
dengan keperluan zaman ini. Almarhum Ustaz Fadzil Noor bersama Tok Guru
Nik Aziz telah membawa PAS maju ke depan hingga diterima oleh
masyarakat kita yang pelbagai kaum dan agama, tiba-tiba sekarang mereka
nak bawa PAS balik ke zaman Datuk Asri dulu. Ini tak boleh dibiarkan.
“Mereka ni cuma segan dengan Tok Guru Nik Aziz saja,” katanya lagi.
“Kalau tak kerana Tok Guru Nik Aziz, PAS dah rosak dah. Sekarang Tok
Guru Nik Aziz uzur, sudah tak berdaya untuk menghalang mereka, tengoklah
apa yang mereka buat! Saya memang tak percaya lagi dengan puak-puak
ini.”
Seterusnya, Cikgu Ishak mengatakan terdapat ramai lagi
pimpinan PAS pelbagai peringkat yang sedar akan "bahaya" yang sedang
melanda parti mereka, tetapi kebanyakan mereka tidak berani hendak
bangkit bertindak kerana nak menjaga imej PAS agar jangan tercemar.
“Tetapi sekarang imej PAS sudah tercemar,” katanya.
“Semua orang tahu. Tak dapat nak sembunyi lagi. Zaman sekarang mana
kita boleh sembunyi perkara macam itu. Orang dah tahu semua. Cuma
puak-puak mereka yang berapa kerat itu saja yang belum sedar.”
Dan Cikgu Ishak menegaskan dia amat sedar apa yang dilakukannya. Bukan
dia mencemarkan imej PAS, tetapi imej PAS memang sudah tercemar,
katanya. Dan dia bertindak bagi menyekat proses pembobrokan di dalam PAS
itu daripada terus menjadi parah.
“Aku bukan menyerang dan memburukkan parti PAS,” jelasnya bagi mengelakkan salah faham.
“Aku cuma mengkritik beberapa individu dalam saf kepimpinan sahaja.
Sebab itu aku menyeru Mustafa Ali supaya berhenti daripada menjadi
pengerusi Harakah. Apa yang dia buat di situ selama bertahun-tahun,
kalau kebajikan wartawan yang hanya berapa orang itupun dia tak boleh
ambil tahu?
“Aku malu, Din. Sebagai pengasas Harakah aku juga
berasa bersalah kalau Harakah diuruskan dengan cara yang bukan seperti
yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Apa orang kata, tidak Islamik.
Itu aku rasa berdosa kalau aku tak tegur tu!”.
Memang dia nampak
beremosi juga ketika bercakap mengenai perkara ini. Tetapi dia
menegaskan berkali-kali bahawa dia sedar apa yang dilakukannya, dan dia
bertanggungjawab serta bersedia menghadapi akibatnya.
Bagi
Paksi, mereka bukanlah hendak bermain dengan api politik apabila mereka
bergabung dengan Cikgu Ishak dan PAS Batu menganjurkan program
pendedahan Harakah.
Seperti disebut di atas, sebelum ini pun
Paksi pernah menjalankan program yang hampir sama – iaitu kempen bagi
menyelamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang sedang sakit tenat pada
tahun 2011.
Kini Paksi menganggap mereka menjalankan kempen yang
sama, bagi menyelamatkan sebuah penerbitan akhbar yang sepatutnya
mengamalkan pengurusan secara Islam, agar dapat dicontohi pengurusannya
oleh pihak lain, di samping memperjuangkan hak kebebasan bersuara.
Saya sendiri mempunyai "bukti" cukup mengesankan dalam hal kepemimpinan
PAS yang enggan menerima teguran dan kritikan, iaitu kepemimpinan Ustaz
Azizan Ab Razak sewaktu menjadi menteri besar Kedah.
Saya
melihat unsur negatif dalam kepemimpinan yang pantang dikritik itu, lalu
mengambil sikap menjauhkan diri daripadanya, hinggalah ia berakhir
dengan kekalahan PAS pada PRU13 yang lalu.
Maka saya berkata
kepada diri sendiri, cukuplah membiarkan yang satu itu musnah kerana
semua orang akur dengan kehendaknya dan mengumpulkan segala pujian
kepadanya, sedangkan adab dan akhlak Islam tidak menggalakkan yang
sedemikian itu.
Dan semoga kata-kata “kepimpinan ulama” tidak
menjadi topeng slogan yang sendirinya mencemarkan kesucian, keadilan dan
kebenaran Islam.
Home
Penulis Tamu
Harakah dalam bahaya, atau PAS?
Post a Comment