Akses TMI disekat, laporan polis dibuat terhadap menteri komunikasi

Sunday 28 February 20160 comments

Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini membuat laporan polis
terhadap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana menyekat akses kepada laman web The Malaysian Insider.

Aktivis Badaruddin Ismail, 70, membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 10.20 malam semalam, beberapa jam selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengarahkan beberapa pembekal perkhidmatan Internet menyekat akses kepada portal itu atas alasan "keselamatan negara".

Badaruddin atau lebih dikenali sebagai Pak Din berkata tindakan itu bertentangan dengan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.


Dalam laporannya, beliau menyatakan SKMM tidak boleh menentu sahkan artikel mana dilapor siar oleh The Malaysian Insider yang berunsur menjejaskan keselamatan negara. Beliau berkata tindakan SKMM itu dibuat secara semberono dan tidak berjustifikasi, menyifatkan ia tuduhan palsu berniat jahat, dan penyalahgunaan kuasa.

"Saya mengambil keputusan untuk membuat laporan selepas membaca di laman web itu petang semalam yang ia disekat SKMM.

"Bagaimana SKMM boleh menentukan apa yang dianggap sebagai ancaman keselamatan negara? Itu tugas polis," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Badaruddin berkata sekatan yang dikenakan dikatakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu juga tidak berkenaan kerana undang-undang itu terlalu umum.

Pengawal selia Internet itu sebelum ini pernah menyekat laman web lain, termasuk laman web pengumpul berita Malaysia Chronicle, kerana didakwa melanggar undang-undang negara, dan Sarawak Report yang membuat dakwaan rasuah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Platform penerbitan Twitter, Medium, juga pernah disekat kerana enggan menarik keluar posting yang memaparkan artikel Sarawak Report mengenai Najib daripada laman webnya.

Walaupun larangan dikenakan, pasukan guaman Medium terus menyiarkan posting itu, mengatakan: "Kami berdiri di belakang wartawan penyiasatan yang menulis di Medium. Sehingga kami menerima perintah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa, posting itu akan kekal."
Malaysia Chronicle dan Sarawak Report masih tidak boleh diakses di Malaysia ketika ini.
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat