Kerugian pracukai Utusan Melayu (Malaysia) Bhd
meningkat tiga kali ganda kepada RM82.64 juta bagi tahun kewangan
berakhir 31 Dis 2014, daripada RM20.39 juta sebelum ini disebabkan
pendapatan lebih rendah dan caj susut nilai lebih tinggi bagi perniagaan
dan lain-lain bil belum terima.
Pendapatan merosot kepada RM291.32 juta bagi tahun dalam semakan
daripada RM342.43 juta sebelum ini disebabkan kelemahan sumbangan oleh
segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan.
Pendapatan segmen berkenaan dalam suku terakhir susut 13.5 peratus,
disebabkan terutamanya oleh pengurangan ketara dalam pengiklanan, kata
syarikat penerbitan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan itu mengunjurkan 2015 sebagai tahun yang mencabar disebabkan
peningkatan persaingan dalam penguasaan pasaran bagi perbelanjaan
pengiklanan dan edaran akhbar.
"Bagaimanapun kami akan meneruskan pelaksanaan strategi menambah baik
kandungan akhbar kami dan menawarkan pakej kreatif untuk pengiklanan,"
kata syarikat itu.
Kumpulan juga akan terus melaksanakan strategi penjimatan kos dalam
operasi perniagaan termasuk mengambil langkah mengurangkan kadar
pengembalian dengan memastikan peruntukan bekalan akhbar dan majalah
dibuat secara cekap.
- Bernama
Post a Comment