Oleh
KEBINATANGAN POLITIK ATASI IDEALSIME KEWARTAWANAN
Tiap wartawan yang menempah nama besar di Utusan
Melayu melangkah keluar dari Utusan Melayu dengan memberikan tabik
hormat kepadanya setelah mengukir nama kerana menjiwai, mewarisi dan
meneruskan semangat dan tardisi Utusan Melayu sebagai akhbar perjuangan
zaman berzaman sejak tahun 1939.
Mereka sedar bahawa mereka menumpang kebesarannya dan
tiap pengorbanan mereka samaada ke kiri atau ke kanan menambahkan
kekeramatan dan keagungannya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Utusan Melayu Pertama Yusuf Ishak
menjadi Presiden Singapura yang pertama kerana Perdana Menterinya Lee
Kuan Yew mengikhtiraf sumbangan Utusan Melayu kepada pembangunan politik
Singapura dan Malaya di bawah pimpinannya
Samad Ismail keluar penjara masuk penjara semasa di Utusan Melayu dan
masih dilihat membawa semangat Utusan Melayu bila beliau berkhidmat
dengan akhbar lain. Beliau tetap digeruni kerana semangat Utusan Melayu
dan kemudian di tahan lagi di bawah ISA di Malaysia.
Said Zahari di tahan dibawah ISA di Singapura selama 17 tahun kerana mewarisi semangat perjuangan ini dan diiikuti dengan laluan berkrikil oleh Melan Abdullah,Mazlan Nordin,Zainuddin Maidin dan Johan Jaafar.
Terkini seorang lagi yang mempunyai nama besar dalam dunia kewartawan Ku Seman Ku Hussain telah melangkah keluar dari Ibu Pejabat Utusan Melayu dengan meninggalkan catitan terakhirnya yang memilukan setelah berkhidmat lebih 32 tahun.Bacalah penilaiaannya terhadap Utusan Melayu sebagai Universiti Keduanya
Kabarnya Ketua Pengarang Utusan Melayu sekarang Aziz Ishak juga telah memberitahu rakan-rakan bahawa beliau akan berhenti.
Mereka meninggalkan Utusan dengan rasa kecintaan pada Utusan dan
kesedaran betapa kebinatangn politik mengatasi kemanusiaan dalam dunia
kewartawanan dan dalam dunia kewartawanan juga ada binatang politik
Di bawah ini Petikan tulisan terakhir Ku Seman Ku Hussain di Mingguan Malaysia 27 Mac 16

Sebelum bas bergerak emak menghulurkan RM50
sebagai tambah duit belanja. Saya sebak. Titis hujan dan airmata bersatu. RM50
itu besar bagi keluarga kami. Dalam perjalanan sesekali terasa kesal menerima
tawaran kerja di Utusan Melayu. Bukankah lebih bertuah kalau berjaya temuduga
sebagai posmen. Tanpa pengetahuan emak dan ayah, saya berjanji dengan “tukang
atur” untuk memberikan sebulan gaji sebagai upah. Tetapi gagal juga.
Saya
sampai ke pondok pengawal Utusan Melayu pukul 7.30 pagi. Sunyi dan tidak ada orang kecuali pengawal. Saya
beritahu hendak berjumpa Encik Zainuddin Maidin. Pengawal itu menjegil kepada
saya. Rupa-rupanya waktu berkerja pukul 10 pagi. Saya melaporkan diri di atas
tangga semasa Zainuddin berjalan naik dengan beg briefcase dan terus panggil
masuk ke pejabat.
Di
sini, walaupun ada editornya kelihatan bengis dan garang tetapi keluarga besar
Utusan Melayu sangat humanis. Ini membuatkan saya yang jauh dari dunia asing
tidak terasing di warisan pusaka orang Melayu paling berjasa ini. Mereka
memberi ilmu tanpa cemburu. Zainuddin sendiri misalnya kerap memanggil saya
"menghadap" di biliknya. Wataknya yang bengis, serius dan sukar
kompromi terhadap kesilapan memang menggerunkan.
Sebenarnya saya tidak diasuh di mana-mana
sekolah kewartawanan. Utusan Melayu adalah universiti saya, ketua-ketua
daripada dulu, Zainudin (Zam), Johan Jaaffar, Khalid Mohd. dan sekarang Aziz Ishak
telah membentuk karakteristik pemikiran kewartawanan saya.
Saya
dibentuk tanpa sedar oleh ketua-ketua yang berpengaruh ini. Oleh yang demikian
saya menghargai mereka seumpama Mitch Albom mengenang pensyarahnya Profesor
Morrie Shwartz yang menderita sakit amyotrophic lateral selerosis (ALS) dalam
buku Tuesdays With Morrie. ALS diibaratkan mati sebelum mati.
Saya
beruntung kerana berpeluang menyaksikan
ketua-ketua saya berhadapan dan menyuraikan peristiwa-peristiwa besar
yang melibatkan rakyat dan negara dengan begitu cemerlang. Ternyata wartawan
bukanlah pelapor dan pelobi melulu. Juga bukan penulis pamplet. Jauh lebih
besar wartawan adalah manusia yang mewaraskan rakyat yang barangkali tidak
punya waktu untuk berfikir. Saya mengamati dan belajar daripada semua tragedi
ini.
Peristiwa seperti tragedi Memali di Kedah
tahun 1986, pertarungan Dr. Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li)
tahun 1987 seterusnya membawa kepada
pengharaman parti UMNO pada 1988 yang sekali gus melucutkan seketika jawatan
Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir, krisis antara Dr. Mahathir dengan
institusi Raja pada 1992 dan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana
Menteri pada 1998 membawa kepada pergolakan politik di negara ini.
Pengalaman melihat kewarasan pasukan editorial
yang diketuai oleh Zainuddin berdepan dengan konflik membawa kepada pengharaman
UMNO suatu yang sangat berharga. Begitu juga Khalid Mohd yang menerajui Utusan
Melayu ketika ledakan reformasi Anwar
Ibrahim serentak kecundang Orde Baru Presiden Suharto di Indonesia. Ini
antara fragmen-fragmen zaman yang sangat mencabar bagi wartawan di negara ini.
Utusan Melayu membentuk saya melihat dunia dan
manusia daripada sudut pandangan yang berbeza, kritis, analitikal dan
berkeupayaan membaca semiotik yang terlindung dari mata zahir. Malah saya
selalu diingatkan bahawa wartawan Utusan Melayu bekerja untuk pembaca supaya
pemikiran mereka merdeka. Kata mereka, kita mesti jawab segala persoalan
daripada rakyat pada esoknya.
Hanya rakyat yang merdeka pemikirannya menjadi
pemangkin kepada sistem politik yang stabil dan aman. Fasa pertama perjuangan
Utusan Melayu memerdekakan negara tercapai dengan jayanya. Tetapi perjuangan
tidak terhenti di situ, (selepas 59 tahun), organisasi surat khabar seperti
Utusan Melayu berterusan untuk agenda merdekanya. Dalam persekitaran
sosiobudaya dan politik yang sangat kompleks, cabaran dan harapan kepada
wartawan juga sangat tinggi.
Hari
ini saya sudah tidak menyesal kerana gagal menjadi posmen (tanpa secebis maksud
memperkecil pekerjaan posmen), malah bersyukur. Kegagalan itu memberikan peluang
bersama-sama Utusan Melayu yang menyediakan lubuk pengalaman yang tidak
ternilai harganya.
Utusan
Melayu terlalu rapat secara fizikal mahupun spiritual dengan saya. Teman-teman
yang baik dan kenangan yang manis semuanya ada di sini. Inilah juga sebahagian
kekuatan saya. Saya pasti akan kehilangan mereka apabila tiba pada batas waktu
untuk berpisah.
Malam ini (malam tadi) selepas saya
menekankan tanda noktah pada catatan terakhir ini, saya melangkah meninggalkan
Utusan Melayu yang sudah 32 tahun empat bulan Tuhan menyalurkan rezeki saya
melaluinya. Saya bersyukur menumpang hidup di rumah pusaka bangsa ini.
NOTA:
Ini adalah catatan terakhir Pengarang Mingguan Malaysia yang meletakkan jawatan dari Utusan Melayu. Tulisan beliau yang kontroversial tetapi jujur kurang menyenangkan pihak tertentu. Ku Seman boleh memohon bersara awal dan menikmati faedah tertentu tetapi beliau menghantar notis meletakkan jawatan dan tidak menikmati apa-apa faedah. ~
http://zamkata.blogspot.my/
Post a Comment