Pembangkang kutuk sekatan pada portal berit

Saturday 27 February 20160 comments

Pembangkang mengutuk tindakan kerajaan menyekat portal berita The Malaysian Insider yang
didakwa melanggar undang-undang negara.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata tindakan itu menandakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdesak untuk mengongkong media bebas.

“Saya mengutuk langkah ini dan gesa penarikan (sekatan) segera dan tanpa syarat,” kata timbalan presiden PKR itu.

Katanya, apa yang penting bukan sekadar kebebasan maklumat dan kebebasan bersuara tetapi kedaulatan undang-undang sebagai asas demokrasi harus melebihi kedaulatan kuasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam menyekat TMI kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Suruhanjaya itu tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat.
Bagaimanapun, polis akan menyiasat laporannya mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.

Sementara itu, anggota parlimen Petaling Jaya Tony Pua berkata kerajaan memasuki era kegelapan bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak pernah media di Malaysia hadapi serangan lebih besar daripada hari-hari gelap Operasi Lalang yang menyaksikan The Star, Sin Chew Jit Poh, Watan digantung pada 29 Oktober 1987,” katanya.

Pua berkata sekatan itu menunjukkan kerajaan cuba menutup dakwaan-dakwaan skandal terhadap kepimpinan Najib.

Ia juga, dakwanya, bukan sahaja menutup sesebuah media tetapi juga menakutkan dan mengancam portal berita lain.

Sementara itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) pula berkata, langkah itu menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang bebas dan telus daripada sumber-sumber di luar kawalan kerajaan.

Pengarah komunikasinya Khalid Samad bagaimanapun mengingatkan kerajaan bahawa suasana dunia tanpa sempadan dewasa ini menyebabkan maklumat boleh diperoleh daripada pelbagai sumber.

“Oleh itu adalah lebih baik pihak kerajaan mendepani segala pendedahan yang dibuat mana-mana pihak secara bertanggungjawab dengan memberi jawapan balas terhadap setiap persoalan yang ditimbulkan.

“Sekiranya pendedahan dan tuduhan itu adalah benar dan berasas maka AMANAH menuntut supaya pihak bertanggungjawab, setinggi mana sekalipun kedudukan mereka, perlu dibawa ke proses pengadilan dan tidak sebaliknya dilindungi dengan menindas dan menafikan hak rakyat,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat