Polis dan SKMM serbu Malaysiakini, rampas komputer

Saturday 7 November 20150 comments

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis menyerbu Malaysiakini berhubung laporan berkaitan perpindahan timbalan pendakwa raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Lebih 10 pegawai dan anggota SKMM dan polis menghabiskan kira-kira tiga jam di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya bagi menyoal pihak editorial sejak jam 5 petang tadi.
Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan kemudiannya memaklumkan bahawa mereka disiasat mengikut Seksyen 499, Kanun Keseksaan berhubung dakwaan kesalahan fitnah jenayah.
Selepas merakamkan kenyataan dan menyoal-siasat, mereka juga merampas sebuah komputer milik syarikat.

Mengulas serbuan itu, Gan berkata Malaysiakini sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tetapi akan terus melindungi identiti sumber mereka.

“Berhubung artikel itu, kami mempertahankan kesahihannya. Lagi pun menteri undang-undang juga mengesahkan laporan itu tidak silap dan pemindahan memang berlaku.

Malaysiakini akan terus melaporkan berita tanpa gentar," katanya.

Sebelum ini, SKMM juga telah merakamkan kenyataan daripada Gan dan seorang wartawan berhubung laporan yang disiarkan Isnin lalu.

Malaysiakini melaporkan seorang pendakwa raya SPRM yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan.

Memetik sumber, Malaysiakini berkata pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.

Apa yang menjadi pemindahannya penuh tanda-tanya adalah peminjaman Ahmad Shazalee ke SPRM baru sahaja dilanjutkan pada pertengahan tahun ini dan sepatutnya berkuat kuasa sehingga 2017.

Bagaimanapun, Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali menafikan pegawai itu dipindahkan.
Dalam laporan itu, Malaysiakini tidak menyebut Ahmad Shazale dipindah keluar dari SPRM.
Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri mengesahkan apa yang berlaku adalah pemindahan dalaman ke atas DPP itu.
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat