Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata,
akses ke laman portal The
Malaysian Insider (TMI) disekat kerana
menyiarkan satu artikel memetik sumber yang tidak dinamakan daripada
anggota Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Salleh berkata, penyiaran artikel yang berkaitan
isu membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu boleh
mengelirukan rakyat kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi SPRM
berkait isu sama.
"Ya, salah satu artikel memetik
panel mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengelirukan kerana
bercanggah dengan kenyataan rasmi SPRM.
"Sumber itu pun tidak tahu daripada siapa. Itu akan
mengelirukan masyarakat. Kita ambil tindakan dan buat siasatan.
"Sebab itu ketua polis negara keluar kenyataan hari ini panggil
pengarang TMI," kata Salleh kepada pemberita selepas merasmikan Karnival
Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini.
Salleh
berkata, Putrajaya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kebebasan
bersuara namun mengingatkan terdapat undang-undang yang mengawalnya.
"Kita boleh beri cadangan. Tapi ada perkara yang kita kena beritahu.
Dalam kes ini (artikel TMI), panel itu tidak dinamakan. Kita perlu
bertanggungjawab.
"Kita banyak laman web yang kritik kerajaan.
Itu tidak ada masalah. Sinar Harian pun pandangan berbeza. Kami tidak
mengawal pandangan anda, tetapi perlu berhati-hati," katanya.
Beliau berkata, sebaik saja terdapat aduan yang dibuat, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan
terhadap mana-mana laman web.
"Kita kena adil. Kalau ada aduan
orang ramai terhadap perkara itu, kepada pemimpin pembangkang, kita
juga akan ambil tindakan. Dalam hal ini memang ada aduan.
"Kita tidak kisah mana-mana pun, kita akan siasat. Siasatan awal dan disusuli siasatan penuh," katanya.
Akses laman web TMI semalam disekat SKMM atas alasan "mengancam keselamatan negara".
Sementara itu, dalam ucapannya, Salleh berkata, walaupun kebebasan
bersuara wujud dalam negara, kerajaan tidak akan membenarkan berlakunya
kebebasan yang merosakkan.
"Bagaimana kita mengurus perbezaan? Perbezaan tidak boleh diurus tanpa menghormati.
"Kita terikat dengan peraturan. Kita ada 'freedom of speech'
(kebebasan bersuara) tetapi tidak 'freedom to destroy' (kebebasan
memusnahkan)," katanya.
Beliau berkata, pihak SKMM memaklumkan
kepadanya susulan aduan membabitkan artikel tersebut, tindakan diambil
terhadap TMI dengan menyekat akses ke laman web itu.
"Saya
dimaklumkan SKMM, mereka menerima aduan umum mengenai artikel di TMI
dan mereka membuat penyiasatan awal dan mendapati ada artikel tersebut
yang bertentangan dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
Malaysia.
"Oleh itu, mereka ambil keputusan menyekat akses TMI.
Pada ketika ini mereka sedang jalankan penyiasatan lengkap dengan
kerjasama polis agar tindakan susulan boleh diambil," katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitter miliknya
berkata, Ketua Pengarang TMI Jahabar Sadiq dan beberapa pengarang serta
wartawan terbabit dipanggil untuk membantu siasatan.
Salleh berkata, SKMM akan bekerjasama dengan polis dalam menjalankan penyiasatan.
"Banyak undang-undang boleh digunakan bergantung kepada kesalahan.
SKMM sekat akses TMI di bawah seksyen itu kerana mereka ada kuasa,"
kata Salleh.
Beliau berkata, setiap aduan yang diterima SKMM
akan disiasat sambil memberi jaminan, tindakan tidak diambil
sewenang-wenangnya terhadap mana-mana portal atau blog.
"Setiap ada aduan, kita akan siasat. Kita bukan sewenang-wenangnya
sekat. Ada siasatan awalnya. Jika siasatan awal kita tidak lihat
kesalahan, kita tidak berbuat demikian.
"Kita perlukan siasatan
penuh SKMM supaya tindakan boleh diambil. Itu prosedurnya," katanya
ketika mengulas sama ada blog milik bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad di www.chedet.cc akan berdepan tindakan sama kerana
mengkritik Najib.
Mengulas berhubung laman web lucah yang masih berleluasa walaupun sekatan dibuat, Salleh berkata tindakan sama ada dilakukan.
"Memang disekat semua tapi bila kita sekat mereka buat yang lain. Sudah tentu kita akan meneliti semua.
"Pada dasarnya, lucah atau perkara ekstremis itu, dengan sendirinya
kita akan sekat. Media online ini, kita kena lihat jika ada aduan
masyarakat," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran pengadu yang membuat laporan kepada SKMM terhadap TMI.
Salleh berkata, pihaknya hanya dimaklumkan SKMM mengenai tindakan yang
bakal dilaksanakan dan menteri tidak mencampuri urusan suruhanjaya itu
dalam membuat keputusan.
"SKMM bekerja dengan bebas. Mereka
ada panel penyiasat dan bekerja rapat dengan polis. Mereka hanya
maklumkan keputusan yang akan diambil.
"Menteri tidak buat keputusan," kata Salleh yang juga tidak memaklumkan tempoh sekatan yang dikenakan terhadap TMI.
Post a Comment