Buruk sangka dan persepsi negatif kian membudaya

Tuesday 21 April 20150 comments

Oleh TO'KI 


Melihat kepada gelagat sesetengah pengguna internet dan media maya jelas sekali sikap buruk sangka dan persepsi negatif sedang membudaya. Rasional yang berkembang atas asas kejelasan fakta dan kebenaran data tidak berlaku tetapi dengan hanya lontaran maklumat dan berita yang menyeronokkan sudah menjadi viral untuk dimamah oleh orang lain.

Orang beradab dan mendukung watak bertamadun tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang belum tentu benarnya dan berasa tidak berdosa me­lakukannya. Apalagi kalau orang Islam. Agama menuntut mela­kukan pemeriksaan terutama perkhabaran yang datang daripada orang fasik.

Perbuatan cybertrooper terutama menjelang pilihanraya lalu menuduh, memfitnah dan menghina pihak yang dimusuhi semacam tidak terbendung. Kumpulan Red Bean Army sebagai contoh melakukan sesuatu di luar kawalan undang-undang dan etika. Kebencian terhadap seseorang dan sesuatu kumpulan diserang dengan fitnah melampau sehinggakan orang yang difitnah hilang upaya untuk menjawab.

Apa yang berlaku di luar lunas undang-undang, demokrasi apalagi etika. Rupa-rupanya revolusi teknologi maya tidak menjadi alat yang menjadikan sistem maklumat berkembang baik sebaliknya menjadi saluran fitnah dan membina persepsi negatif terhadap yang lain.

Masyarakat yang dikatakan maju mestilah berdiri atas prinsip yang benar dan betul. Masyarakat yang zahirnya maju tapi hakikatnya mundur kerana tidak mampu me­raikan maklumat yang benar dan betul. Jalan mudah ialah bersekongkol dengan rangkaian penyebar maklumat tanpa rasa bersalah dan berdosa. Ini sedang menjadi wabak dan membudaya di dalam masyarakat kita walaupun agama melarangnya.

Orang-orang kita terbiasa mengumpat, mengata dan memfitnah orang lain. Media maya adalah saluran yang paling mudah untuk menyebarkannya kepada yang lain. Ini suatu bentuk kemungkaran. Memfitnah ibarat meratah daging saudaranya sendiri dan berdosa.

Orang Islam yang beriman dan berjiwa muttaqeen harus mengelakkan kemungkaran ini daripada menjadi amalan. Ibadah kita akan menjadi sia-sia.

Jadikan kita manusia khayra ummah (Al Imran: 110) atau umat terbaik yang menyuburkan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Fikirkan balasan Allah apabila melakukan kemungkaran kerana azab Allah adalah amat pedih.

Tidak mudah untuk mencegah sikap buruk ini daripada terus terjadi. Lebih payah budaya persepsi negatif mahu dihentikan kerana menjadi sebahagian daripada penyakit hati yang bersarang dalam nafsu amarah bissuk yang menerbitkan sifat-sifat mazmumah (keji).

Orang yang mempunyai kualiti ihsan yang tinggi tidak melakukan kerja-kerja ini. Ia dipandu oleh hadis Rasulul­lah SAW – dalam melakukan sesuatu, meski kita tidak melihat Allah, wujud keyakinan bahawa Allah melihat kita. Ia memberi isyarat bahawa Allah Maha Tahu yang kita lakukan dan Allah Maha Tahu apa yang kita sebarkan.

Sebab itu risalah kerasulan (nubuwwah) antaranya membawa khabar gembira dan peringatan. Khabar gembira ialah tentang kebenaran daripada Allah dan rahmat nikmat yang Allah limpahkan kepada umat manusia. Peringatan ditujukan kepada manusia yang melampaui batas. Menyebarkan berita palsu, melakukan fitnah tanpa usul periksa, seronok-seronok menghina dan membenci orang adalah sangat berdosa.

Berdosa dengan Allah boleh mohon keampunan terus tetapi berdosa dengan manusia lain tidak mudah kemaafan diperoleh.

Justeru umat Islam harus memiliki sifat husnuszan (sangka baik) dan memupuk kualiti mahmudah pada diri sebagai asas tazqiah an nafs (pembersihan dan penyucian diri) supaya lahir jiwa sakinah (tenang) yang tinggi dan terpancar kualiti nafsul mutamainnah (insan berjiwa damai) yang menjadi idaman setiap yang beriman dan bertakwa.

Inilah sebenarnya jalan kembali insan kepada Khaliq bukannya kembali sebagai manusia berdosa lantaran nafsu amarah yang tidak terkawal.- http://www.utusan.com.my
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat