DI SAAT Malaysia menuju negara maju, amat dikesali apabila pemerintah masih rakus menggunakan akta-akta drakonian
bagi mengekang rakyat dari bersuara.
Wajarkah akta-akta ini digunakan
hanya semata-mata menyekat mereka yang menentang ideologi Umno-BN?
Wartawan Kanan Harakah, NYZA AYOB mendapatkan pandangan Pengarah Jabatan
Undang- Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Malaysia,
Noorazmir Zakaria mengenai perkara ini.
WARTAWAN: Boleh saudara jelaskan mengenai aktaakta drakonian yang masih digunakan pemerintah negara ini.
NOORAZMIR ZAKARIA: Saya lihat Akta Hasutan dan Akta Pencegahan Jenayah (PoCA) antara akta drakonian yang masih digunakan kini.
Saya boleh sebutkan di sini, apabila Juham mengendalikan kes yang
melibatkan ahli-ahli PAS dan pimpinan PAS yang ditangkap di bawah Akta
Hasutan, berkemungkinan untuk dijatuhkan bersalah selepas ini terlalu
tinggi.
Tidak pernah lagi setakat kes yang kita kendalikan di bawah Akta Hasutan, kita menang.
Ini kerana Akta Hasutan itu tidak melihat kepada niat.
Cenderung kepada menghasut juga telah didapati bersalah dan yang
menafsirkan perkataan menghasut itu bukan terletak pada orang yang
mengungkapkan sesuatu kenyataan itu, tetapi bergantung kepada hakim.
Jadi hakim apabila dia mendengar keterangan, dia yang akan memutuskan
sama ada kenyataan itu cenderung menghasut atau tidak. Jadi, perkara ini
bukan salah mahkamah, tetapi salah akta itu.
Ini kerana akta itu sebenarnya digubal dan asal akta itu sendiri untuk menyekat terorist pada ketika itu iaitu komunis.
Adakah akta-akta ini digunakan untuk menyekat sebarang ideologi yang bertentangan dengan Umno- BN?
Beza sekarang ini bila ISA sudah tiada, Umno seperti terdesak untuk
mencari akta yang lain bagi menakutnakutkan pimpinan parti- politik
pembangkang dan juga ahli-ahli yang menyokong pembangkang ini. Mereka
dimomokkan dan dikenakan di bawah Akta Hasutan. Apabila didakwa,
kebarangkalian untuk lepas itu tidak ada, jadi orang jadi takut.
Perkara inilah yang menyebabkan masyarakat makin menyampah dan meluat
dengan Umno. Betul. Ini kerana Umno semakin terdesak untuk menyekat
sebarang ideologi yang bertentangan dengan ideologi Umno-BN. Sebab itu
kita desak supaya Akta Hasutan ini dihapuskan.
Sebelum ini kita
mengharapkan kepada kerajaan terutama Dato’ Seri Najib apabila dia umum
nak hapuskan Akta Hasutan, memang akta ini akan dihapuskan. Tetapi
apabila dalam Perhimpunan Agung Umno dia didesak supaya tarik balik Akta
Hasutan, jadi ‘stand’ beralih kepada tidak akan pinda. Kita memang
tidak pernah percaya dengan Umno, tetapi apabila Najib memberikan
harapan kepada rakyat, sepatutnya dia mengambil kesempatan meyakinkan
rakyat.
Najib telah bertindak dengan tidak bijak. Beliau termakan
dengan desakan pimpinanpimpinan Umno yang ada kepentingan. Maka dia
telah menukar ‘stand’ sebelum ini dengan tidak menukar Akta Hasutan.
Ini bermakna Akta Pencegahan Jenayah (PoCA) juga akta yang zalim seperti ISA?
Jika kita lihat Akta Pencegahan Jenayah (PoCA) seperti ISA. Kita tidak
bersetuju dengan sebarang akta yang berselindung di sebalik tahanan
tanpa bicara. Jadi dalam PoCA ia memberikan hak seseorang itu ditahan
tanpa perlu dibicarakan.
Kemudian memberikan hak sehingga seseorang itu boleh ditahan sehingga dua tahun tanpa perlu dibicarakan.
Walaupun ISA sudah dimansuhkan, dengan pengenalan akta-akta seperti
ini, kita tengok sekarang ia tidak digunakan secara meluas kepada
pimpinan parti-parti politik tapi dengan melihat kepada trend Umno ini,
apabila terdesak, mungkin apabila hampir pilihan raya, Umno mungkin akan
gunakan akta-akta sebegini untuk menakut-nakutkan penyokong parti-parti
pembangkang. Kita membangkang sekeras-kerasnya akta tanpa bicara ini.
Kebelakangan
ini kita dapat lihat mahasiswa bangkit menyuarakan pandangan mereka.
Adakah ini menggambarkan aktaakta drakonian ini tidak lagi menjadi
senjata untuk menggerunkan mereka?
Tujuan akta drakonian
ini sebenarnya untuk menakutkan rakyat. Tetapi ada sedikit sinar
harapan kepada anak-anak muda ini dilihat lebih bijak dan berani.
Sepatutnya sewaktu kesempatan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku)
dipinda yang membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik, seharusnya
diambil peluang tersebut dengan seluas-luasnya oleh mahasiswa untuk
menyatakan pendirian mereka. Walaupun anak muda sekarang sudah berani,
masih ada lagi yang dibayangi rasa takut terhadap Auku yang lama.
Sepatutnya mahasiswa kena mengambil kesempatan dan jangan lagi
dibayangi rasa takut. Sisa-sisanya masih ada. Mereka ini sudah lama
ditakuti.
Momokan ini sudah terlalu lama. Mereka takut dibuang,
digantung dan tidak mendapat peluang pekerjaan disebabkan terlibat
dengan parti politik.
Saya juga nampak ketakutan itu disebabkan
percaturan pentadbir-pentadbir universiti yang cenderung kepada parti
politik dan Umno. Mereka sekat mahasiswa ini daripada berfikir dan
menyatakan ideologi mereka kepada rakyat. Saya ingin nasihatkan
mahasiswamahasiswa jangan terpengaruh dengan tekanan pihak-pihak
pentadbir universiti.
Jadi ketakutan di kalangan sesetengah mahasiswa ini satu kemenangan kepada kerajaan?
Ya, itu yang saya nampak. Kalau tidak takkanlah Mahkamah Rayuan boleh
mengatakan universiti ini bukan tempat untuk melahirkan pak turut.
Sepatutnya Mahkamah Rayuan apabila mendengar kes itu sendiri boleh
melihat trend itu. Kerajaan kalau boleh nak lahirkan mahasiswa yang ikut
sahaja apa yang kerajaan kata, ikut sahaja apa yang Umno cakap. Jadi,
fokus universiti itu sudah lari. Bukan lagi melahirkan intelektual.
Apakah
ia satu kebetulan atau perancangan yang tersusun apabila yang sering
menjadi mangsa di bawah Auku ini adalah mahasiswa pro Pakatan Rakyat?
Saya nampak seakan-akan ada satu perancangan tersusun untuk
menakut-nakutkan mahasiswa yang pro Pakatan Rakyat melalui
tindakan-tindakan tatatertib kepada mereka dengan menggunakan akta
drakonian Auku. Mahasiswa-mahasiswa ini ada berjumpa dengan saya untuk
mendapatkan nasihat guaman. Sebagai contoh dalam kes demonstrasi di UM,
ketika DSAI datang berucap. Malangnya, Auku masih tidak membenarkan
mahasiwa diwakili peguam ketika dibicarakan di mahkamah universiti, yang
menyebabkan banyak kesalahan asas dalam prosiding perbicaraan dilakukan
oleh pihak universiti.
Akibatnya, ramai yang dihukum bersalah dan dikenakan tindakan digantung semester.
Terbaharu, pimpinan Gabungan Persatuan Islam Malaysia (Gamis) ada yang
diberikan surat tunjuk sebab kerana dituduh terlibat dengan Gamis yang
dikatakan tidak berdaftar. Sedangkan, Gamis adalah pertubuhan di bawah
Pemuda PAS Malaysia.
Ini juga salah satu contoh sikap double standard kerajaan terhadap kebebasan mahasiswa.
Ya. Mengapa Gamis dijadikan sasaran, sedangkan ahli-ahli Kelab
Penyokong Umno langsung tidak dikenakan apa-apa tindakan? Malah,
ahli-ahli Kelab Penyokong Umno dibenarkan untuk hadir ke Perhimpunan
Agung Umno. Jadi, sangat jelas yang Auku ini hanya digunakan secara
terpilih untuk menyekat mahasiswa yang tidak sealiran dengan Umno-BN.
Sehingga kini, negara manakah yang masih mengguna pakai akta-akta drakonian seperti yang masih diamalkan di Malaysia?
Akta Pencegahan Jenayah ini sebenarnya mirip kepada Akta Patriot di
Amerika. Akta seperti ini digunakan dengan alasan untuk mengekang
terorisme. Jadi, di negara kita pun alasan yang sama diguna pakai.
Kerajaan tidak menyebut terorisme tetapi mengatakan akta-akta ini hendak
mengekang mereka yang mencambahkan ideologi perkauman dan yang kononnya
ingin mencabar kedaulatan Melayu. Ideanya adalah sama dan ia sebenarnya
untuk mengekang kemaraan parti-parti pembangkang yang nampak semakin
dominan. Jadi akta ini hanya sebagai alat.
Berdasarkan mangsa yang dikenakan di bawah akta-akta drokonian ini, benarlah aktaakta ini akta terpilih?
Betul. Sebagai contoh barubaru ini Tun Dr Mahathir tiba-tiba mengaku
dialah sebenarnya yang bertanggungjawab di sebalik Ops Lalang suatu
ketika dahulu.
Tiba-tiba Ops Lalang sudah ‘dilembutkan’. Ironinya ia disebut oleh orang seperti Mahathir.
Adakah ia bermaksud sekarang ini kerajaan sudah hendak kembali kepada
penangkapan figur-figur politik pembangkang demi memastikan mereka
menang pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Saya secara peribadi sebenarnya melihat kecenderungan ke arah Ops Lalang itu sejak setahun dua ini.
Ia berdasarkan penangkapan secara terpilih di bawah Akta Hasutan. Saya
nampak kecenderungan ke arah itu sudah ada. Tapi kerajaan berselindung
di sebalik menjaga kedaulatan raja-raja, menjaga kedaulatan Melayu serta
menjaga sensitiviti perkauman. Perkara yang sama tekandung dalam Ops
Lalang dahulu. Isunya perkauman juga.
Jadi, kita melihat talian
hayat Umno-BN ini adalah isu perkauman. Bila terdesak mereka akan
mainkan isu perkauman untuk menakut-nakutkan dan menjadi alat untuk
justifikasi tindakan mereka menangkap figur-figur tertentu.
Seruan saudara kepada seluruh rakyat supaya tidak terus terpedaya dengan akta-akta drakonian ini?
Kita berharap rakyat faham dan peka dengan akta-akta drakonian ini dan
bukannya terus terpengaruh dengan media-media utama seperti Utusan
Malaysia dan TV3. Contohnya sebelum Buletin Utama, mereka mainkan visual
kononnya figur DAP bermain judi. Semua ini adalah perkara-perkara yang
bersifat perkauman. Saya menyeru sangat-sangat supaya rakyat tidak
terpengaruh dengan perkara seperti ini.
wawancara yang diadakan pada 25 Februari lalu.
Post a Comment