Oleh SHUHAIMI EMBONG
SEBELUM kita pergi lebih jauh membincangkan tajuk ini, Etika Media Sosial kepada Ahli Gerakan
Islam, lebih baik kita memahami dulu, apa itu media sosial atau
“social media” yang menjadi komponen kepada media baru yang hangat
diperkatakan terutama bagi Gen X dan Gen Y dewasa ini.
“Media” – apa yang kita gunakan untuk berhubung dengan manusia yang lain.
“Social”
– merujuk kepada keperluan naluri manusia yang menghubung dengan
manusia yang lain. Jadi “Social Media” atau media sosial adalah
bagaimana kita boleh menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
secara berkesan untuk mendekati dan menyambung dengan manusia yang
lain, mewujudkan hubungan interaksi komunikasi sosial dua hala - dialog
secara interaktif, dari monolog (satu hingga banyak) untuk berdialog
(banyak kepada ramai) digunakan untuk membina kepercayaan Media seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Blog dan sebagainya.
Manakala etika pula merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat adalah;
1. ilmu berkenaan prinsip-prinsip akhlak atau moral;
2.
prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi
pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan (persatuan, pekerjaan,
dan lain-lain);
Sementara itu Gerakan Islam pula mengikut
pandangan seorang tokoh Gerakan Islam, Dr Yusuf Al Qardhawi
mendefinisikan, Gerakan Islam adalah istilah yang dimaksudkan bagi satu
amal Islami berterusan yang bersifat massa, berkumpulan dan tersusun
demi mengembalikan hak agama Islam untuk memimpin masyarakat dan
mengarah seluruh kehidupan.
Setelah kita memahami istilah-istilah
diatas, barulah lebih mudah kita membincang dan memahami tajuk yang
diperkatakan ini dalam satu seminar berkaitan dengan perkara ini,
‘Seminar IT: Tepati Syariah, Patuhi Sunnah’ yang dianjurkan oleh Lajnah
IT PAS Sabah di Kota Kinabalu pada 22hb Februari, 2015 baru-baru ini.
Sungguhpun
begitu, saya tidak bercadang untuk membuat satu artikel yang panjang,
tetapi sekadar melontarkan ulasan di kolum Gerbang IT ini kerana tidak
dapat hadir untuk mengikuti pembentangan oleh Rahimin Mustafa, mantan
Pengarah IT Sabah berhubung tajuk di atas dalam seminar tersebut.
Pada
saya, penglibatan dalam media sosial kepada ahli gerakan Islam dengan
mengambil PAS sebagai contohnya mestilah tidak lari daripada dalam
kerangka perlembagaan PAS itu sendiri yang bermatlamatkan untuk “mencari
keredhaan Allah”.
Perkara ini boleh dirujuk dalam Fasa 6, bab
ke-3 Perlembagaan PAS yang menyebut antara lainnya, “menyeru umat
manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara
lisan, tulisan dan amalan. Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan
ukhuwah Islamiyah serta menyuburkan rasa perpaduan dalam kalangan
rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan
berkebajikan”.
Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6 bermaksud;
"Wahai
orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik yang membawa
sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak
mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kejahilan), yang akhirnya kamu
menyesali perbuatanmu itu."
Pengajaran daripada ayat ini boleh disimpulkan kepada beberapa perkara:
1.
Jangan mudah mempercayai berita-berita atau bahasa moden sekarang
adalah gosip yang mudah sampai kepada kita terutamanya melibatkan aib
seseorang.
2. Berita yang seakan yakin akan kebenarannya perlu
diteliti dan mendapat kepastian dari sumber yang sah bukannya disebarkan
berita tersebut dengan tujuan mencari simpati, publisiti atau
sengaja/tidak sengaja mencari kesalahan orang lain dengan niat yang
pelbagai seperti hasad dengki, amarah, tidak puas hati dan seumpamanya.
3.
Jika wujud keraguan dalam berita/khabar angin tentang sesuatu perkara
hendaklah dijauhi dan dibuang jauh-jauh kerana ia akan menjerumus kepada
perpecahan dan penyesalan. Contoh mudah adalah apabila kita mengesyaki
seseorang berzina tetapi tidak ada cukup empat orang saksi dan orang
yang kita syaki melakukannya pun tidak pernah mengakuinya, mengapa harus
kita buruk sangka dan menyebarkan berita yang tidak tentu betul? Sudah
tentu akan menimbulkan persengketaan antara muslim dan mewujudkan baiah
atau suasana yang tidak kondusif dalam masyarakat Islam. Ingat kebenaran
tertegak, jika ia betul-betul terjadi!
4. Segeralah menyesal dan
memohon ampun kepada Allah jika tersilap dalam berbicara atau
menyebarkan berita yang salah atau fitnah. Juga jangan lupa memohon maaf
kepada tuan punya badan kerana perbuatan memfitnah lebih keji daripada
membunuh! Pepatah orang tua mengatakan: Terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata buruk padahnya. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian
tiada gunanya.
Penegasan ini telah diberikan oleh Presiden PAS,
Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Berikut adalah sedutan Ucapan
Dasar MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE-60 (2014) dibawah tajuk kecil, Istiqamah
Membawa Kebaikan Menerusi Media Baru menyebut;
1. Kebelakangan
ini, PAS bukan sahaja diserang bertubi-tubi oleh media arus perdana yang
masuk ke dalam setiap buah rumah sehingga mewujudkan situasi tidak
seimbang di kalangan rakyat. Malah serangan dalam kalangan ahli-ahli PAS
sendiri lebih teruk lagi menggunakan media sosial terutama FB, Twitter
dan sebagainya sekarang ini sendiri seolah-olah mereka yang terlibat
dalam perang siber ini sudah hilang punca. Firman Allah SWT: Tidakkah
kamu memperhatikan bahawa Allah telah mempermudahkan untuk kegunaan kamu
apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi, dan telah melimpahlan
kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahin dan batin. [Luqman : 20]
2.
Media baru dalam dunia tanpa sempadan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk
tujuan dakwah dan tarbiyah bagi memperbetulkan manusia dan
mengembalikan manusia ke jalan yang benar. Saya bersetuju dengan saranan
Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia yang menyarankan tiga langkah
jangka panjang yang boleh dijadikan polisi dan garis panduan dalam
memanfaatkan komunikasi dan sebaran maklumat secara pantas melalui media
baru ini agar lebih bertanggungjawab dan berhikmah iaitu:
i.
Tanggungjawab kepimpinan dalam memanfaatkan ICT dan Media Baharu iaitu
kepimpinan dan ahli-ahli PAS perlulah memikul amanah dan
pertanggungjawaban dengan apa jua maklumat yang berpunca dari diri
mereka.
ii. Memanfaatkan Laman Web dan Media Sosial rasmi PAS
untuk sebaran maklumat rasmi organisasi dengan lebih bertanggungjawab
dan terurus melalui proses penyebaran yang selamat.
iii. Sentiasa
memantau saluran media baru seperti blog dan media sosial demi
mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan
perjuangan Islam itu sendiri.
Untuk itu, peranan Lajnah
Penerangan dan Hubungan Media serta Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia
menjadi semakin penting dan perlu diperkukuhkan dalam organisasi parti
bagi mengambil faedah daripada ledakan ‘media baru’ ini untuk
dimanfaatkan sepenuhnya selain daripada Harakah dan Harakahdaily perlu
dikembangkan kandungan dan capaiannya dari masa ke semasa terutamanya
dalam menghadapi fenomena ledakan maklumat perang siber sekarang ini.
Seperti
yang ditegaskan dalam muktamar sebelum ini, media parti seperti
Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm, mestilah berusaha
membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang
telah distrategikan bagi disampaikannya kepada rakyat yang menjadi
pengundi senyap dalam pilihan raya bagi meghadapi PRU ke-14 nanti.
Penulis adalah Pengarah Jabatan IT Pusat.
Post a Comment