Kemelut Harakah bukti akhbar kawalan politik

Monday, 12 January 20150 comments

Kemelut yang berlaku dalam pengurusan akhbar Harakah membuktikan lidah rasmi PAS itu tidak terlepas daripada kawalan politik, akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia, melaporkan hari ini. Penolong pengarangnya Ku Seman Ku Hussain berkata, apa yang terjadi kepada Harakah itu membuktikan perjuangan menegakkan kebebasan akhbar ialah sesuatu yang sia-sia.

“Situasi di negara kita berbeza, akhbar selalunya terpaksa mengalah kepada politik. Saya percaya Lutfi juga menyedari hakikat ini,” katanya merujuk kepada Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman.

“Kontroversi Harakah kini menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong dan ahli PAS. Mereka macam tidak percaya PAS bertindak sedemikian.”

Pengasas Harakah Ishak Surin minggu lalu menggesa Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berundur daripada kedudukannya sebagai pengerusi media rasmi parti Islam itu kerana memecat tiga pengarangnya.

Ishak berkata tindakan memecat Pengarang Harakah Tarmizi Md Jam, Pengarang Rencana Roslan Hamid dan Lutfi bersifat zalim dan melanggar hak kebebasan bersuara.

"Saya cabar Mustafa berundur. Kita sangat benci 'anak' yang kita lahirkan tiba-tiba bersikap zalim," katanya.

Ku Seman berkata, kemelut Harakah itu membuktikan kawalan politik ke atas editorial akhbar satu perkara biasa dan kumpulan pengarang itu bukan saja perlu “menjaga” parti tetapi juga golongan tertentu yang dominan dalam parti.

Beliau mendakwa, pemimpin politik parti itu juga tidak mahukan kebebasan akhbar dan apa yang dilaungkan selama ini hanya drama semata-mata.

“Akhbar digunakan untuk memperlahankan musuh dalam dan luar parti. Tetapi perkara ini tidak banyak diketahui penyokong.
“Saya selalu ditanya rakan-rakan yang totok PAS tentang kebebasan akhbar.

"Tetapi jawapan saya tidak menggembirakan kerana menganggap mereka sudah tersihir oleh kepetahan orang berjaja di pasar politik,” katanya menerusi kolum Anekdot Ahad hari ini.

Ku Seman berkata, ahli atau penyokong parti perlu melihat sesuatu isu dengan mendapatkan pelbagai saluran maklumat dan tidak bergantung kepada hebahan lidah rasmi semata-mata.

Katanya, dengan mendedahkan diri kepada pelbagai saluran maklumat maka pelbagai dimensi baik dan buruk dapat dilihat dengan lebih jelas.

“Penyokong PAS tidak boleh bergantung kepada Harakah saja untuk menilai PAS dan pemimpinnya.
“Sudah tentu yang kurang baik tentang pemimpin PAS tidak ada dalam Harakah dan mungkin ada dalam akhbar lain, walaupun secara prinsipnya mereka sangat menyampah.

“Begitu juga penyokong parti lain, mereka boleh saja mengutip kritikan dalam Harakah untuk melihat kepincangan parti dan pemimpinnya. Itupun kalau mereka sanggup menerima kenyataan yang pahit,” katanya. -http://www.themalaysianinsider.com
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat