Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tindakan
Kementerian Dalam Negeri, melalui Unit Penguatkuasa Bahagian Kawalan
Penerbitan dan Teks Al-Quran merampas ketiga-tiga lidah rasmi PAS,
KeADILan dan DAP, pada 23 Mei lalu, di seluruh negara, segera
mengingatkan saya terhadap langkah sama bekas Perdana Menteri, Dr
Mahathir Mohamad, sejurus selepas BN dikejutkan dengan keputusan Pilihan
Raya Umum 1999.
(Harakah, Suara Keadilan dan Roket
menjadi mangsa rampasan KDN baru-baru ini. Menurut pengedar Harakah di
beberapa negeri, antaranya Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan, seawal jam
9 pagi, Khamis, ketika Harakah edisi Jumaat baru hendak diagihkan,
penguatkuasa KDN bertindak pantas merampasnya. Difahamkan sebahagian
besar Harakah itu masih belum dipamerkan untuk jualan. Lebih 4,000
naskhah Harakah dirampas walaupun angka rasmi dikeluarkan KDN hanya
sekitar 1,000 sahaja).
Majoriti pengundi Melayu dalam PRU10 itu
memberikan sokongan luar biasa kepada Barisan Alternatif. Ramai pemimpin
Umno tewas, termasuk bekas menteri, khususnya kepada PAS. Dr Mahathir
mengambil pendekatan "mendera" orang Melayu, antara lain dengan tidak
memberikan sebarang tambahan kerusi Parlimen untuk tiga negeri Melayu,
iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, dalam persempadanan semula kawasan
Parlimen, dan dalam masa sama, membanyakkan kerusi-kerusi pengundi
campuran, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Tionghua, yang
menyelamatkan BN daripada kalah mengejut di peringkat persekutuan.
Tetapi,
yang lebih menjolok mata ialah penderaan Dr Mahathir kepada beberapa
penerbitan popular berbahasa Melayu -- Harakah, mingguan Eksklusif dan
majalah dua kali sebulan Detik -- yang dikira telah menyumbang kepada
kekalahan Umno, termasuk tumbangnya kerajaan Terengganu dan peningkatan
mendadak pengaruh PAS di Kedah, terutama di kerusi-kerusi majoriti
pengundi Melayu.
Tiga bulan selepas PRU1999 itu, akhbar Harakah
yang diterbitkan dua kali seminggu sejak pertengahan 1990 (Harakah mula
diberikan permit penerbitan dalam kekerapan sekali seminggu pada Mac
1987) menerima hukuman cukup keras.
Apabila permit Harakah
tamat (di negara ini, hayat setuap penerbitan hanya setahun) pada 28
Februari 2000, kekerapannya dipancung daripada dua kali seminggu kepada
dua kali sebulan, yakni diterbitkan dalam tempoh 15 hari sekali! Dan
permit baru itu hanya dikeluarkan KDN pada 6 Mac, sedangkan sepatutnya
ia diperbaharui sebelum tempohnya berakhir. Di belakang permit, tertera
dua syarat yang khusus buat Harakah dan tidak terdapat dalam permit
penerbitan lain, iaitu syarat no 13 dan no 14.
Pihak pengurusan
Harakah telah memohon permit baru pada 1 Ramadan 1420, bersamaan 9
Disember 1999, ketika pemimpin Umno berduka lara dengan keputusan PRU10.
Sebenarnya KDN sudahpun memasanag perangkap untuk menjerat Harakah.
Dalam suratnya pada 24 Disember, KDN memaklumkan bahawa telah melakukan
dua kesalahan, mengenai penjualan akhbar Harakah kepada orang awam dan
penjualan di tempat yang bukan pejabat atau markas PAS.
Ekoran
"kesalahan-kesalahan" itu, KDN "bercadang untuk membatalkan permit
penerbitan Harakah". Selain merupakan amaran paling keras pernah
diterima Harakah, ia sebenarnya satu mesej jelas bahawa akhbar
alternatif yang dicetak hampir 400,000 naskhah ketika itu, bakal
berdepan situasi lebih sukar.
Sehari sebelum KDN mengeluarkan
surat amaran itu, Unit Kawalan Penerbitannya telah merampas lebih 2,600
naskhah Harakah di sekitar Lembah Klang. Menteri Dalam Negeri, Abdullah
Ahmad Badawi, dalam kenyataannya menegaskan: "Jika gejala ini
berterusan, kita akan memikirkan tindakan yang lebih keras lagi daripada
apa yang kita lakukan sekarang."
Sebenarnya sebelum Harakah
dihukum pancung kekerapan penerbitannya, daripada dua kali seminggu
kepada dua kali sebulan, KDN telah memaksa pelbagai syarat pelik, namun
penguruisan Harakah tetap bersedia untuk melaksanakannya.
Misalnya,
kira-kira pertengahan tahun 1998, KDN mengarahkan Harakah mengadakan
rak khas supaya Harakah tidak bercampur dengan akhbar-akhbar lain di
premis jualan. Hampir RM70,000 dibelanjakan untuk menempah rak tersebut
bagi diagihkan kepada rangkaian penjual di seluruh negara.
Belum
pun sempat rak itu selesai diedarkan, pada 26 Disember 1998, syarat baru
dikeluarkan, iaitu Harakah hanya boleh dijual di markas atau pejabat
PAS. Sebelumnya sudah KDN mengenakan syarat agar dicetak nota penting di
muka depan Harakah, "Untuk Ahli PAS Sahaja".
Pada 3 Januari 2000,
Harakah mengedarkan pekeliling kepada semua pengedar memaklumkan akhbar
itu hanya boleh diedar dan dijual di markas dan pejabat PAS. Pengedar
juga harus memastikan setiap peruncit di bawahnya menjual di tempat yang
ditentukan itu atau menghantar ke rumah mereka yang melanggan.
Ketika
itu, saya tidak bersama keluarga besar Harakah, tetapi mengendalikan
penerbitan sendiri, yang mengusahakan majalah proreformasi, Detik;
permitnya saya "sewa" dengan seorang sahabat baik, Allahyarham Samsuri
Roslan.
Saya berkongsi dengan banyak pihak, yang merasakan
tindakan KDN itu cukup keterlaluan dan tidak perlu diikuti Harakah. Apa
pun, pihak pengurusan Harakah tetap cuba mematuhi apa jua syarat-syarat
karut-marut KDN itu. "Sabar sungguh bos-bos Harakah melayani karenah
KDN," kata seorang peguam.
Saya menimbulkan kembali cebisan
cerita lama ini untuk menunjukkan "niat jahat" KDN kepada Harakah. Dalam
setiap tindakannya, ternyata ia sarat dengan motif politik yang tebal.
Malah, untuk menguatkuasakan syarat jualan hanya kepada ahli PAS,
langkah merampas Harakah yang dijual di tempat awam boleh dipersoal.
Keanggotaan PAS sudah melebihi satu juta orang, dan ahli-ahlinya berada
di merata tempat.
Sebenarnya tindakan KDN merampas Harakah di
tempat terbuka itu telah menafikan hak ahli-ahli PAS untuk membeli lidah
rasmi parti mereka di premis yang mudah diperolehi. Bagi saya, ketika
KDN sensitif sangat dengan jualan Harakah kepada orang awam, hak ahli
PAS juga tidak boleh dihalang.
Apa pun, sebagai penggerak
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan wartawan yang mula bertugas
dengan Harakah sejak keluaran sulungnya pada Mac 1987, bai saya,
syarat-syarat karut-marut KDN itu harus dicabar di mahkamah dan
dimansuhkan.
Mungkin KAMI patut memulakan inisiatif menggerakkan
kempen membebaskan semua akhbar oposisi yang dikepung syarat-syarat
tidak munasabah itu. Lebih malang, Suara Keadilan, yang ditamatkan
permit penerbitannya ekoran isu "Felda bankrap", langsung tidak
diberikan keizinan terbit.
PAS adalah sebuah parti politik
berdaftar, yang ditubuhkan menurut peruntukan undang-undang lebih 62
tahun lalu. PAS tentulah dibenarkan untuk mengembangkan pengaruh dan
menarik sokongan rakyat dari seluruh pelosok negara.
Justeru,
akhbarnya juga harus dapat disebarkan kepada semua rakyat -- tidak
terbatas kepada ahli-ahlinya saja -- tanpa sebarang halangan dan
syarat-syarat represif. Bayangkan, dalam sebuah negara demokrasi,
rakyatnya dihalang daripada membeli akhbar milik tiga buah parti
politik, yang memperolehi undi popular 53 peratus!
Di zaman
ledakan maklumat tanpa sempadan, apatah lagi dengan kerancakan media
baru, amalan merampas akhbar ini adalah kerja kerajaan diktator zaman
dahulu. Orang luar akan ketawa dengan "kerja gila" kerajaan BN yang "out
of date" ini.
Inilah bahananya apabila Najib Razak -- diperkukuh
dengan keghairahan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang
baru, Zahid Hamidi dan Khalid Abu Bakar -- menerima pakai teladan yang
ditunjukkan mentornya Dr Mahathir. Mungkin Najib risau jika Mahathir
mula bersuara, menggesanya menuruti langkah Abdullah Ahmad Badawi yang
terpaksa meletakkan jawatan kerana prestasi buruk BN dalam PRU12. Rekod
Najib yang mengetuai BN pada PRU13 adalah lebih buruk daripada Abdullah.
Program
transformasi politik Najib adalah satu pembohongan besar. Pindaan Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan bukan saja tidak memberi sebarang makna
kepada proses pendemokrasian, malah membuktikan ia langsung tidak
menyentuh hal-hal fundamental dalam kebebasan akhbar, seperti keperluan
permit, syarat-syarat mengarut KDN, kuasa tidak terbatas menteri dan
peluang untuk merujuk kes ke mahkamah.
Pindaan itu sekadar tidak
lagi mengehadkan tempoh permit kepada hanya setahujn seperti sebelumnya,
tetapi masih mengekalkan kuasa menteri untuk menggantung dan menamatkan
permit tanpa perlu sebarang alasan dan pihak yang terkilan tidak boleh
membawanya ke pengadilan.
Ia menguatkan lagi keyakinan saya
selama ini bahawa BN tidak pernah bersedia untuk memberikan ruang
kebebasan bersuara buat warga Malaysia. Benar, dari segi akademik, tiada
kebebasan akhbar di Malaysia. Peluang yang dibentangkan oleh medium
internet bukan menunjukkan sikap terbuka kerajaan kepada amalan
kebebasan bersuara tetapi "keterpaksaan" janji-janji Perdana Menteri
pada 1997 semasa melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC).
Sesungguhnya
rampasan Harakah, Suara Keadilan dan Roket, serta siri tangkapan
terhadap pemimpin dan aktivis oposisi, seperti Tian Chua, Tamrin Ghafar
dan Harris Ibrahim hanya akan menaikkan semangat juang rakyat, apatah
lagi dengan penahanan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim, bakal
menyemarakkan terus momentum PRU13.
Keputusan PRU13 rupanya tidak
meredakan komitmen rakyat untuk menuntut perubahan, malah menggerakkan
seluruh potensi yang ada bagi memastikan sistem dan proses pilihan raya
negara kita dapat direformasikan seutuhnya. "Perlawanan" ini menuju
pusingan lebih sengit. --
Home
Penulis Tamu
Kembali ke era gelap Mahathir
Post a Comment