GAJI kakitangan Kumpulan Utusan Melayu Berhad, syarikat penerbit
akhbar Utusan Malaysia, tidak akan dibayar kerana syarikat tidak
mempunyai keupayaan kewangan, kata Pengerusi Kesatuan Wartawan
Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Bhd Mohd Taufek Razak.
Taufek berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengerusi
Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam
pertemuan mereka di Putrajaya, hari ini.
“EC (Pengerusi Eksekutif Abd Aziz) beritahu mereka tak akan bayar
gaji kita,” katanya , ketika ditemui semasa
piket kakitangan syarikat itu di depan pejabat Utusan, hari ini.
The Malaysian Insight difahamkan Aziz dan beberapa wakil kesatuan
sekerja Utusan dipanggil oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan
Perusahaan, Khalid Jadi ke pejabatnya di Putrajaya pagi tadi.
Pertemuan pada 9.30 pagi itu dipercayai antaranya berhubung kelewatan
Utusan membayar gaji kakitangan, yang kini tertunggak sejak Jun lalu.
Kira-kira 100 kakitangan syarikat Utusan, yang menerbitkan akhbar
Utusan Malaysia dan Kosmo melancarkan piket di luar bangunan syarikat
itu di Jalan Utusan, hari ini berikutan kegagalan syarikat membayar gaji
mereka antara Jun hingga Ogos tahun ini.
Setiausaha Agung NUJ Malaysia Chin Sung Chew dalam ucapannya pada
piket itu berkata, mereka yang terkesan dengan kegagalan syarikat
membayar gaji adalah wartawan, jurugambar, dan artis grafik bukan
eksekutif.
Turut terkesan katanya adalah kakitangan eksekutif yang hanya menerima bayaran berjumlah RM2,000 untuk Jun, Julai dan Ogos.
“Kita meminta Umno menyuntik dana membela nasib kira-kira 700 pekerja
yang masih belum menerima gaji, itu pun jika masih berminat untuk terus
memiliki syarikat ini.
“NUJ juga menyeru Umno merombak barisan pengurusan sedia ada yang jelas gagal menguruskan Utusan Melayu dengan baik,” katanya.
“Tapi jika sudah tidak mampu menjaga kebajikan pekerja Melayu di
syarikat ini, NUJ sekali lagi meminta Umno melepaskan pegangan sahamnya
supaya boleh diambil alih oleh pihak yang berminat,” katanya lagi.
Chin berkata, Umno juga tidak bertanggungjawab membiarkan kakitangan syarikat itu tanpa sebarang bantuan.
Kakitangan Utusan yang menyertai piket itu turut membawa plakad
tertera perkataan “mana gaji kami”, “mana pejuang Melayu”, “kami semua
sayangkan Utusan”, dan “majikan cabul hak pekerja”.
Mereka turut melaungkan “mana pejuang Melayu” dan “mana Umno”.
Nik Hasmazi Hassan, 48, yang berkhidmat lebih 20 tahun bersama Utusan
berkata, situasi semasa dihadapinya hari ini adalah cabaran terburuk
dalam hidupnya bersama syarikat itu.
Malah dia terpaksa meminjam daripada pihak lain untuk pergi bekerja yang tidak dibayar gajinya.
Nik turut mendedahkan, terdapat kakitangan syarikat itu turut meminjam ah long untuk terus hidup.
“Ada antara kami yang terpaksa pinjam ah Long, semata-mata untuk makan…sehina itu kami kakitangan Utusan Melayu.
“Sudah 23 tahun saya bekerja di sini, macam-macam bentuk jatuh bangun
saya dah saksikan tapi ini yang paling teruk,” katanya lagi.
Sementara itu, Taufek berkata, kakitangan syarikat itu akan tetap
terus bekerja, walaupun status gaji mereka tiada penghujungnya.
“Kita masih terus bekerja, sebab semua kakitangan masih sayangkan
Utusan, mereka mahu terus bekerja tapi tak dapat gaji,” kata Taufek,
lagi.
Post a Comment