Geramm kecam serbuan polis, SKMM

Saturday 7 November 20150 comments

Gerakan Media Marah (Geramm) mengecam keras tindakan polis dan Suruhanjaya Kommunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat portal berita Malaysiakini dan The Star Online.
"Kami memandang tindakan ini sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan media dan mencengkam kebebasan bersuara.

"Geramm membantah keras tindakan ini dan meminta pihak berkuasa menghormati hak media untuk melaporkan berita tanpa diancam dan tanpa berpihak serta membiarkan media bebas menjalankan tugas untuk memberikan maklumat kepada rakyat jelata," kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada dua serbuan dua agensi penguatkuasa itu di pejabat Malaysiakini pada semalam, dan The Star hari ini.

Siasatan itu dibuat selepas Pejabat Peguam Negara membuat laporan kepada polis berhubung dua berita berasingan disiarkan portal terbabit.

Ia tertumpu kepada isu perpindahan seorang timbalan pendakwa raya yang ditempatkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pernah terbabit dalam siasatan anak syarikat 1MDB, SRC International.

Sehubungan itu, Geramm berpendapat tindakan agensi penguatkuasaan terhadap media berhubung kes yang memang menjadi perhatian rakyat, seakan memalit imej diktator dan kuku besi terhadap pihak berkuasa.

"Geramm pasti, ini bukanlah imej yang kerajaan inginkan, tapi aksi dan tindakan mereka ketika ini seakan menjemput minda rakyat bergelumang di dalam kemelut terbabit.

"Walau Geramm sedar kadang-kadang laporan berita memiliki unsur disensasikan dan mengandungi maklumat boleh dipersoalkan, kami menjemput pihak berwajib untuk menjawab isu terbabit di dalam siaran media dan jika perlu bolehlah menggunakan tindakan mahkamah.

"Kami ingatkan kepada kerajaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah berjanji untuk mempertahankan kebebasan media," tegas Geramm.

Geramm adalah perikatan longgar kumpulan wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.-Mkini
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat