Pupusnya Seorang Wartawan Spesies T-Rex

Friday, 9 January 20150 comments

Oleh FAIZAL TEHRANI 

Ahmad Lutfi Othman barangkali wartawan spesies T-Rex yang agam, hebat dan berbisa. Dalam zaman Jurasik, ketika binatang dinasour berkeliaran, T-Rex adalah dinasour maging yang akan menyerang bila diganggu. Ia besar dan sangat menggigit sehingga sesuatu mesti dilakukan. Maka Lutfi mesti dipupuskan secara berkala.

Justeru semua penerbitan dengan jenama atau ada berbau Lutfi akan diperiksa, dimomokkan atau dibunuh secara senyap dengan cara baik atau paling tidak bermaruah.

Akan tetapi Lutfi bukanlah seorang T-Rex, beliau cumalah seorang jurnalis yang penuh wawasan dan mendokong kebebasan media serta keluhuran bersuara. Dari segi fizikal, beliau bukanlah seorang yang sihat untuk benar-benar ditakuti.

Pengharaman majalah Detik adalah suatu kesilapan dan bencana kepada kebebasan media negara ini sebetulnya. Apakah seorang Lutfi yang mudah jatuh sakit itu akan tergugat oleh kekangan demi kekangan ini?

Lutfi pernah menulis, begini bunyinya: "Berbekalkan sisa-sisa kebebasan yang bersepah tidak terurus saya gagahi juga melangkah ke hutan rimba gelap gelita ini. Masakan tidak, kita sebagai pengamal media tidak pernah diberikan garis panduan jelas tentang apa yang boleh kita lakukan dan apa yang tidak boleh kita lakukan.

"Sememangnya kita tidak pernah tuntut kebebasan tanpa batas. Yang kita mahu ialah ruang selesa menulis, melaporkan dan menganalisis perkembangan semasa yang berlaku tanpa takut dan bimbang dikawal pemerintah zalim." (Dipetik dari majalah berkala Zaman Jatuh Mahathir suntingan Suria Janib).

Dari perenggan itu kita dapati Lutfi masih berdenyut dan masih berharap betapa sedikit ruang kecil untuk menyatakan dan memberi pandangan seperti yang diiktiraf dalam Deklarasi bahagian artikel 19 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menjamin setiap individu hak untuk bersuara dan mendapat maklumat.

Bagaimanakah wartawan khususnya yang bergiat dalam jurnalisme berbahasa Malaysia menerima peristiwa ini.

Adakah dengan penuh pengabaian atau kepekaan? Lutfi malah keseorangan dan kepupusan seorang Lutfi semakin meruncing. Ingat, Lutfi bukan T-Rex, dia wartawan yang cintakan kedamaian dan berusaha untuk menyampaikan kebenaran seperti anda! Tidak adakah pengamal media yang baik di luar sana mampu berbuat sesuatu? Cara menghapuskan Lutfi sebetulnya halus, bermuslihat dan sesekali tampak kurang ajar. Ambil sahaja cara Detik "disembelih", penuh dengan misteri dan tanda tanya. Setiap episodnya begitu terjalin dan dramatik.

Menjadi peniaga dan penerbit yang ikhlas mempertahankan kejituan jurnalisme sebenarnya begitu celaka di negara yang serba boleh ini.

Maka cara bagaimana lagi yang efektif untuk menghapuskan semangat seorang Lutfi yang tidak pernah kalah itu? Jangan beritahu bahawa anda tidak pernah mendengar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987). Lutfi akan terhapus dan pupus sama sekali jika tiada pencetak mahu mencetak bahan-bahan yang saksama dalam bersuara.

Justeru tekanan bertalu-talu yang ditimpakan ke atas Lutfi dipindahkan kepada pencetak. Haraki, akhbar berkala yang tidak memerlukan permit (diterbitkan oleh Lutfi) misalnya dirampas dan pencetak ditakut-takutkan dengan dipanggil saban hari ke balai polis dan disoal itu dan ini. Sekumpulan polis sentisa bertandang ke kilang dan deringan telefon mengacau.

Tentu dari segi logiknya, untuk apa seorang pencetak yang mendapat untung kecil mencipta masalah "diganggu" pihak berkuasa. Bukankah lebih baik ditolak sahaja apa-apa tawaran percetakan dari Lutfi? Dan, ia memang berkesan, kerana meski ditawar harga tinggi, pencetak lebih suka untuk tidak menggadai bisnes dari mendapat untung tidak seberapa.

Lutfi pun tidak dapat bersuara lagi. Dia akan dibisukan pada awalnya. Maka lihatlah bagaimana Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ini berfungsi dengan cekap. Pencantasan pergerakan dengan "mengugut" pencetak adalah satu jalan jauh yang sebetulnya sangat berkesan dan tidak disedari sesiapa.

Oleh itu akan pupuskah seorang Lutfi dari persada kewartawanan ini? T-Rex yang benar-benar jahat itu pupus kerana faktor perubahan cuaca dan suhu bumi kata ramai saintis, akan tetapi Lutfi akan pupus begitu sahaja di celah-celah apa yang kita namakan sebagai undang-undang dan tamadun manusia dengan nilai-nilai Asia yang gemilang. Kerana tidak melakukan apa-apa, wartawan-wartawan Malaysia, kalian sungguh memalukan!
------- 
(suntingan majalah web, Saksi, Jun 2000)
Share this article :

Post a Comment

 
Webmaster : K.A.M.I
Copyright © 2010. Bebaskan Media - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap Webmaster
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat